OLEH: NURALYAA ROSLI, MOHAMAD SHAMIM BAHAROM, NURUL FADHILAH ABDULLAH

MANJUNG, 13 NOVEMBER 2026 – Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), telah mengambil bahagian dalam Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) yang berlangsung di Manjung, Perak pada bulan Oktober 2026 yang lalu.

Penglibatan FSSK dalam program ini memperlihatkan komitmen fakulti dalam menyokong penganjuran program universiti serta mendekatkan kepakaran bidang sains sukan dan kejurulatihan kepada masyarakat setempat.

Antara pengisian yang diketengahkan ialah penyediaan perkhidmatan terapi urutan kepada pengunjung. Perkhidmatan ini memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan pendedahan mengenai kepentingan penjagaan tubuh badan, pemulihan fizikal serta kesejahteraan diri melalui pendekatan yang berkaitan dengan bidang sains sukan. Selain itu, jualan produk minuman sukan d’UPSIDE turut menjadi salah satu tarikan dalam penglibatan FSSK sepanjang program berlangsung. d’UPSIDE juga turut diberikan secera percuma kepada pengunjung yang menyertai Fun Walk di awal pagi 24 Oktober 2026.

Penyertaan FSSK ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara universiti dengan komuniti, malah turut memberi peluang kepada warga fakulti untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran dalam suasana sebenar melalui interaksi secara langsung bersama pengunjung.

Secara keseluruhannya, penglibatan FSSK dalam PULARA Manjung mencerminkan usaha berterusan UPSI dalam menyumbang kepakaran kepada masyarakat, memperluas jaringan kerjasama serta mempromosikan kepentingan penjagaan kesihatan dan kesejahteraan fizikal.