Oleh: Dr. Sumayyah Aimi Mohd Najib dan Gs. Dr. Norshahida Azali

TANJONG MALIM, 14 November 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh peranannya sebagai institusi pendidikan yang mendekatkan ilmu akademik kepada masyarakat menerusi penganjuran Program Pemindahan Ilmu “Jejak Setitis Air & Cakna Sungai” yang berlangsung di Sungai Bernam, UPSI.

Program ini melibatkan seramai 120 orang peserta, terdiri daripada komuniti sekitar daerah Muallim dan pelajar UPSI. Program yang dilaksanakan dengan sokongan Projek Pemindahan Ilmu UPSI menggabungkan pendekatan Service Learning  dan Experiential Learning.

Pendekatan ini membuka ruang kepada pelajar universiti untuk mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari dalam bilik kuliah melalui pengalaman lapangan sebenar, di samping berkongsi ilmu dan kemahiran dengan komuniti setempat. 

Sebagai sebuah universiti pendidikan yang terletak berhampiran Lembangan Sungai Bernam, UPSI mempunyai kedudukan yang strategik dalam memainkan peranan sebagai penghubung antara ilmu akademik dengan masyarakat.

Penganjuran program ini juga bertepatan dengan aspirasi universiti untuk melahirkan bakal pendidik yang bukan sahaja menguasai pengetahuan secara teori, malah berupaya menyampaikan dan memanfaatkan ilmu tersebut dalam kehidupan masyarakat. 

Antara pengisian utama program ialah aktiviti amali pengukuran parameter kualiti air sungai secara in situ serta penilaian kualiti air menggunakan bioindikator melalui pensampelan dan pengenalpastian makroinvertebrata akuatik.

Melalui aktiviti ini, peserta didedahkan kepada kaedah asas pemantauan kualiti air serta kepentingan organisma akuatik sebagai petunjuk kepada keadaan ekosistem sungai.

Program ini turut mendapat kerjasama strategik daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia, khususnya Humid Tropics Centre (HTC) Kuala Lumpur dan Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai, yang berkongsi kepakaran serta pengalaman berkaitan pemantauan dan pengurusan sumber air.

Menurut Puan Sazliana Abu Omar, Ketua Penolong Pengarah Humid Tropics Centre (HTC) Kuala LumpurJabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, hasil penilaian menggunakan petunjuk bioindikator menunjukkan skor 7.0, yang dikategorikan sebagai clean water (kategori bersih) berdasarkan penilaian petunjuk biologi.

Dapatan ini memberikan gambaran positif terhadap keadaan kualiti air di lokasi pensampelan, di samping menjadi peringatan tentang kepentingan usaha pemeliharaan sungai secara berterusan.

Sehubungan itu, komuniti sekitar Muallim perlu memainkan peranan bersama dalam memastikan Sungai Bernam terus dipelihara daripada pencemaran, memandangkan sungai tersebut merupakan antara khazanah sumber air yang penting kepada kawasan setempat.

Program ini turut menerima maklum balas positif daripada Encik YM Raja Mohd Nor Raja Daud, Ketua Kampung Simpang Empat, yang menyifatkan penganjuran program seumpama ini sebagai satu inisiatif yang baik dan bermanfaat kepada masyarakat.

Menurut beliau, program tersebut memberikan pengetahuan baharu kepada komuniti, khususnya berkaitan kepentingan menjaga kebersihan sungai dan memahami keadaan kualiti air melalui aktiviti yang dijalankan secara langsung.

Penglibatan komuniti dalam aktiviti amali turut membuktikan bahawa pendidikan alam sekitar tidak seharusnya terhad kepada pembelajaran formal, sebaliknya perlu diperluaskan melalui perkongsian pengalaman dan pemindahan pengetahuan yang mudah difahami serta boleh diamalkan dalam kehidupan seharian.

Penganjuran program ini turut melibatkan Jabatan Geografi dan Alam Sekitar UPSI, SULAM UPSI, Persatuan Geografi, Persatuan Geografi Malaysia (GeogMalaysia), ketua-ketua kampung, komuniti sekitar Muallim serta pelajar kursus Hidrologi Tropika dan Dinamika Lembangan Saliran.

Melalui penglibatan pelbagai pihak, program ini diharapkan dapat menjadi titik permulaan kepada pelaksanaan lebih banyak inisiatif pendidikan komuniti yang berteraskan literasi air, pemeliharaan sungai dan kelestarian alam sekitar.

Daripada setitis ilmu yang dikongsikan, diharapkan lahir gelombang kesedaran yang terus mengalir dalam masyarakat. 

Usaha ini bukan sekadar mempertemukan universiti dengan komuniti, tetapi membina tanggungjawab bersama untuk melahirkan masyarakat yang celik air, cakna sungai dan prihatin terhadap kelestarian alam sekitar demi generasi akan datang.