Oleh: Muhammad Najli Abdul Jalil, Nurul Zetiani Samsul & Dr Mohamad Ihsan Muhamad Ismail,

TANJONG MALIM, 9 November 2026 – Program Neon Green Run 3.0: Go & Glow telah berlangsung dengan jayanya dalam suasana yang cukup meriah.

Penganjuran edisi ketiga ini mendapat sambutan yang amat memberangsangkan daripada pelbagai lapisan masyarakat, merangkumi golongan belia, pelajar, mahupun keluarga.

Matlamat utama program ini adalah untuk memupuk budaya gaya hidup sihat melalui aktiviti kecergasan yang santai dan menarik.

Di samping mempromosikan kesihatan fizikal dan mental, aktiviti sebegini turut menjadi wadah terbaik untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti.

Program ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), khususnya SDG 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan), SDG 11 (Bandar dan Komuniti yang Mampan) dan SDG 16 (Keamanan, Keadilan dan Institusi yang Kukuh).

Program ini telah diadakan di perkarangan Padang Kawad Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), dengan jumlah peserta yang hampir memcecah 1000 penyertaan iaitu seramai 819 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa USPI sendiri, warga UPSI dan masyarakat sekitar Tanjong Malim.

Larian ini juga dihadiri dan dirasmikan oleh Dr. Abu Zarrin Selamat selaku Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI.

Sewaktu hari kejadian, suasana padang kawad bertukar menjadi hidup dan riuh apabila ratusan peserta berhimpun memeriahkan program Neon Green Run 3.0 dengan memakai pelbagai aksesori dan pakaian bertemakan black neon green, para peserta kelihatan begitu bersemangat seawal sesi panaskan badan iaitu semasa senamrobik berlangsung.

Apabila para peserta berkumpul di garisan permulaan keadaan begitu riuh, kerana semangat mereka yang membara dan tidak sabar untuk berlari sambil menghirup udara malam.

Sebaik sahaja tiupan wisel pelepasan dibunyikan, laluan larian yang awal sunyi menjadi bising dan meriah, kerana sorakan para peserta. Sepanjang larian, sorakan mesra dan gelak tawa mengiringi setiap langkah larian mereka, menukarkan larian malam biasa menjadi satu pengalaman yang luar biasa. Itulah serba sedikit suasana semasa Program Neon Green Run 3.0; Go & Glow berlangsung.

Suasana Program Neon Green Run 3.0
Sesi Senamrobik
Ahli jawatankuasa Program Neon Green Run 3.0: Go & Glow

Secara keseluruhannya, penganjuran Neon Green Run 3.0 membuktikan bahawa aktiviti sukan tidak semestinya kelihatan biasa atau membosankan.

Gabungan elemen kecergasan dengan seni visual serta konsep keceriaan juga penting dan buktinya program ini berjaya menarik minat masyarakat untuk turun beriadah. Dengan adanya program seperti ini amat penting dalam memberi kesedaran bahawa kesihatan fizikal dan hubungan sosial boleh dipupuk seiring.

Diharapkan agar penganjuran program bermanfaat seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan sebagai wadah mengekalkan kesihatan sekali gus mengeratkan hubungan masyarakat.