Oleh: Ng Jing En
Tanjung Malim, 18 September 2024 – Majlis Anak Johor (M@JOR) Universiti Pendidikan Sultan Idris telah melaksanakan Program Kembara Ilmu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Bersama SMK (P) Temenggong Ibrahim Batu Pahat dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar dan Persatuan Silat Seni Gayong,Universiti Pendidikan Sultan Idris. Program ini disertai oleh 30 orang pelajar Tingkatan Enam dan 10 orang guru pengiring.

Menurut Muhammad Haikal Amirul Rashid, Pengarah Program Kembara Ilmu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersama SMK (P) Temenggong Ibrahim, program ini memberi pendedahan kepada pelajar untuk mengenali UPSI dengan lebih mendalam melalui pelaksanaan aktiviti-aktiviti yang menarik. Program ini juga dapat mengeratkan hubungan UPSI bersama komuniti luar dan dapat melaksanakan jaringan dua hala antara sekolah dan universiti melalui penganjuran program ilmiah. Lawatan ini juga dapat memberi peluang kepada pelajar merasai pengalaman meneroka suasana pembelajaran di kampus yang sangat menyeronokkan.

“Terima kasih diucapkan kepada Ahli Jawantankuasa M@JOR yang sudi meyambut dan menyantuni ketibaan kami dengan mesra dan sanggup berkorban masa pada cuti semester ini,” kata Puan Siti Adawiyah Abu Bakar, wakil guru SMK (P) Temenggong Ibrahim. Beliau berharap lebih ramai pelajar TIGS melanjutkan pelajaran di UPSI.
Menurut Zuyyin Nazihah Johari, wakil pelajar SMK (P) Temenggong Ibrahim, program ini meningkatkan motivasi pelajar TIGS pelbagai nilai murni untuk belajar bersungguh-sungguh dan melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti. “Semangat kerjasama dalam pasukan, kemahiran menyelesaian masalah dan kemahiran memimpin merupakan antara kemahiran yang dipelajari sepanjang program,” ujarnya dalam program ini.
Program ini bermula pada jam 7.00 pagi dengan ketibaan pelajar dan guru TIGS. Aktiviti pertama ialah slot ice breaking diikuti slot pengenalan UPSI oleh MPP. Selepas itu, program diteruskan dengan perkongsian cara mempertahankan diri bersama Persatuan Silat Seni Gayong UPSI. Seterusnya, pelajar-pelajar melawat sekitar KSAS dan KSAJS seperti Digital Library UPSI, Perpustakaan Tuanku Bainun dan Muzium Pendidikan Nasional bersama M@JOR. Aktiviti seterusnya ialah checkpoint games yang terdiri daripada permainan seperti radio rosak, puzzle dan quick thinking. Akhir sekali, aktiviti pada 18 September 2024 diakhiri dengan malam kebudayaan. Majlis penutup pula diadakan pada pagi keesokan harinya.

Pelaksanaan program seumpama ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang agar ramai pelajar dapat didedahkan dengan kepentingan mempelajari ilmu dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke menara gading.

