Tanjong Malim, 6 Oktober 2024- Kemahiran kerja dalam pasukan dan komunikasi berkesan merupakan kemahiran yang kritikal bagi mana-mana organisasi, sama ada di dalam mahupun di luar universiti. Menyedari kepentingan kemahiran itu, Majlis Tertinggi Persatuan Pengajian Malaysia (PPMas), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) telah menganjurkan Program Pengukuhan Kerja Berpasukan atau Teambuilding PPMas, yang telah berlangsung selama 2 hari 1 malam dari 5 hingga 6 Oktober, bertempat di Ujana Muallim, Proton City.
Sepanjang program yang dihadiri oleh semua barisan Majlis Tertinggi dan EXCO PPMas itu berlangsung, ahli persatuan telah diberi pendedahan tentang kemahiran untuk bekerja dalam pasukan melalui pelbagai aktiviti Latihan dalam Kumpulan (LDK).

Malahan, 2 sesi ceramah telah diadakan sepanjang program itu, iaitu ceramah Perkongsian Pengalaman oleh Muhammad Syaqir Mohd Noor, pegawai khas Naib Canselor UNITAR yang juga mantan Yang di-Pertua PPMas, serta ceramah Pengurusan Konflik oleh Dr. Nizammudin Alias, mantan pensyarah Jabatan Pengajian Malaysia, FSK yang kini bertugas di Fakulti Undang-undang, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Program ini telah menutup tirainya pada 2 petang 6 Oktober dengan selesainya Majlis Penutup Program Pengukuhan Kerja Berpasukan PPMas yang telah dirasmikan oleh Dr. Intan Suria, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Malaysia.


Secara keseluruhannya, walaupun cuaca sepanjang program dilaksanakan hujan, tetapi program ini telah berjaya mencapai sasarannya untuk merapatkan ukhwuah antara Majlis Tertinggi dan EXCO PPMas, sekaligus mendedahkan mereka kepada kemahiran kerja berpasukan dan komunikasi berkesan.
