Oleh: Nadia Shahira Amiruddin

Kuala Lumpur, 8 Februari 2025 – Seramai 43 orang pelajar Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak Semester 2 Sesi 2024/2025 telah mengadakan Program EduVoyage: Discovering the world of Preschool.

Program ini adalah program lawatan ke tadika swasta yang mengaplikasikan kurikulum luar negara selain dari kurikulum yang digunapakai di Malaysia iaitu Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK). 

Lawatan Akademik ini adalah ke Tadika Piccoli Sri Petaling, sebuah institusi pendidikan awal kanak-kanak yang berinspirasikan Kurikulum Reggio Emilia. Program ini dijalankan bermula pada jam 8.00 pagi hingga 3.00 petang.

Tujuan utama program ini adalah untuk memberikan pendedahan langsung kepada pelajar mengenai pendekatan Kurikulum Reggio Emilia yang diamalkan di Piccoli Sri Petaling serta mengaplikasikan hasil pembelajaran kursus Analisa Kurikulum Prasekolah (KAZ1063) secara praktikal seperti mengenalpasti ciri-ciri pendidik dan program awal kanak-kanak yang berkesan, membezakan pengajaran dan kurikulum pendidikan prasekolah di beberapa buah negara, menghubung kait antara sejarah prasekolah dengan kesan dalam situasi sebenar, serta bekerja dalam kumpulan bagi menyelesaikan tugasan yang diberi.

Melalui program ini, pelajar dapat mengenalpasti ciri-ciri pendidik dan program awal kanak-kanak yang berkesan.

Pelajar berpeluang melihat sendiri peranan guru sebagai fasilitator yang membimbing kanak-kanak meneroka potensi diri mereka dalam suasana pembelajaran yang kondusif dan berpusatkan kanak-kanak.

Di samping itu, pelajar memahami kepentingan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat, menyeronokkan dan merangsang kreativiti kanak-kanak.

Selain itu, pelajar juga dapat membezakan pengajaran dan kurikulum pendidikan prasekolah di beberapa buah negara. Mereka dapat membandingkan pelaksanaan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) di Malaysia dengan Kurikulum Reggio Emilia dari Itali.

Pelajar menyedari pendekatan pembelajaran yang lebih fleksibel, memberi tumpuan kepada minat kanak-kanak dan pemupukan hubungan erat antara guru, ibu bapa dan komuniti di bawah Kurikulum Reggio Emilia.  

Program ini juga membantu pelajar menghubung kait antara sejarah prasekolah dengan kesan dalam situasi sebenar.

Pelajar memahami bagaimana pendekatan Reggio Emilia yang wujud selepas Perang Dunia Kedua di Itali memberi penekanan kepada pendidikan yang mementingkan suara kanak-kanak dan kerjasama komuniti.

Selain itu, pelajar menyedari perkembangan sejarah prasekolah di Malaysia turut dipengaruhi oleh pendekatan antarabangsa dalam usaha mempertingkatkan kualiti Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

Dalam aspek kerja berkumpulan, pelajar dibahagikan kepada kumpulan untuk mengumpul maklumat, berbincang dan membuat pembentangan berdasarkan pemerhatian di Piccoli Sri Petaling.

Kemahiran komunikasi, kerja berpasukan dan kepimpinan pelajar diperkukuh melalui tugasan yang dijalankan sepanjang program ini.

Semasa lawatan, pelajar turut berpeluang memahami dengan lebih mendalam intipati Kurikulum Reggio Emilia yang diamalkan di Piccoli Sri Petaling.

Pendekatan ini  menekankan pembelajaran berpusatkan kanak-kanak, pengalaman deria yang menyeluruh, pembelajaran melalui inkuiri dan pengalaman dunia sebenar, kerjasama erat antara kanak-kanak, guru dan ibu bapa, serta persekitaran sebagai guru ketiga.

Pelajar dapat melihat sendiri bagaimana kanak-kanak diberi kebebasan untuk memilih aktiviti pembelajaran berdasarkan minat mereka.

Aktiviti pembelajaran melibatkan penggunaan pelbagai deria seperti sentuhan, penglihatan, pendengaran dan bau bagi merangsang perkembangan holistik kanak-kanak. Kanak-kanak juga didorong untuk bertanya soalan, meneroka alam sekitar dan menjalankan aktiviti secara praktikal.

Kerjasama antara guru, ibu bapa dan kanak-kanak sangat ditekankan, manakala ruang kelas diatur secara kreatif dan mesra kanak-kanak untuk menggalakkan penerokaan dan interaksi.

Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya mencapai objektif yang ditetapkan serta memberi pengalaman bermakna kepada pelajar dalam memperkaya pengetahuan dan pemahaman mereka mengenai pendekatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang pelbagai