Oleh: Nadia Shahira Amiruddin
Selangor, 12 Februari 2025- Seramai 33 orang pelajar Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak Semester 2 sesi 2024/2025 telah menyertai program lawatan akademik ke Brainy Bunch, sebuah tadika yang diinspirasikan oleh kurikulum Montessori.
Program ini dianjurkan sebagai sebahagian daripada keperluan kursus Analisa Kurikulum Prasekolah (KAZ1063), yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 3.00 petang.
Sepanjang program ini, pelbagai aktiviti telah dijalankan. Antara aktiviti yang telah dilaksanakan termasuk sesi taklimat mengenai kurikulum Maria Montessori yang disampaikan oleh wakil Brainy Bunch.
Pelajar juga berpeluang melawat sekitar tadika untuk melihat persekitaran pembelajaran yang disediakan serta menimba pengalaman dalam sesi pengajaran dan pembelajaran bersama kanak-kanak tadika.


Keistimewaan program ini adalah para pelajar diberi peluang untuk melaksanakan aktiviti permainan digital bersama kanak-kanak.
Permainan digital tersebut dibina sendiri oleh pelajar Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak berdasarkan tunjang yang terdapat dalam Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK).
Aktiviti ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan teori pembelajaran secara praktikal, malah turut menguji keberkesanan bahan pembelajaran interaktif yang dihasilkan.


Secara keseluruhannya, program lawatan ini telah memberi pendedahan yang amat bermakna kepada pelajar dalam memahami pelaksanaan kurikulum Montessori serta membolehkan mereka membandingkan pendekatan tersebut dengan kurikulum prasekolah yang lain.
Program ini juga berjaya memperkukuh kefahaman pelajar terhadap hasil pembelajaran kursus yang ditetapkan. Dengan adanya program sebegini, diharapkan pelajar dapat mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak dengan lebih berkesan di masa hadapan.