Oleh: Ts. Dr. Afiq Radzwan, En. Wan Zul Adli Wan Mokhtar, En. Mohd Faisal Mohd Yassin, Dr. Mohd Faudzi Umar.
Hulu Selangor, 26 Februari 2025 – Unit Stargazers UPSI telah dijemput oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Selangor untuk mengadakan Program Meneroka Planet di Angkasa Raya Menggunakan Teleskop di SMK Kg Soeharto.
Program yang bermula dari jam 8:30 malam hingga 11:30 malam ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para peserta mengenai teknik pencerapan langit menggunakan teleskop serta kepentingan astronomi dalam pendidikan STEM.

Unit Stargazers UPSI diwakili oleh tiga orang, iaitu Pensyarah Kanan Jabatan Fizik, Fakulti Sains dan Matematik, En. Wan Zul Adli Wan Mokhtar, Ts. Dr. Afiq Radzwan, serta Penolong Pegawai Sains Jabatan Fizik, En. Mohd Faisal Mohd Yassin.

Persiapan teknikal bagi program ini telah dimulakan seawal pukul 7 petang dan dikendalikan oleh mereka bertiga.
Namun, cuaca yang mendung dan hujan menyebabkan aktiviti pencerapan hanya dapat dilakukan seketika sebelum terpaksa dihentikan.

Walaupun begitu, sesi pembentangan diteruskan dengan perkongsian ilmu oleh dua pakar astronomi, Ts. Dr. Afiq Radzwan dan En. Wan Zul Adli Wan Mokhtar, Pensyarah Kanan Unit Stargazers UPSI. Ts. Dr. Afiq Radzwan menerangkan peranan Stargazers UPSI serta teknik dan kepentingan astrofotografi dalam STEM.
Beliau juga menjelaskan bahawa astrofotografi adalah gabungan sains dan seni, menjadikannya sebahagian daripada pendekatan STEAM, manakala Menurut En. Wan Zul Adli Wan Mokhtar, berdasarkan pengalaman beliau, kawasan SMK Kg Soeharto adalah paling sesuai untuk mencerap kerana mempunyai pencemaran cahaya yang sedikit.
Beliau juga menerangkan cara pencerapan dan apa yang boleh dicerap. Selain itu, peserta turut diajar menggunakan aplikasi Stellarium untuk membantu mereka mengenali dan mencari objek langit dengan lebih mudah, serta menjejak planet.


Program ini dihadiri oleh lebih 100 orang peserta, termasuk pelajar, guru, pegawai PPD Hulu Selangor, ibu bapa serta penduduk setempat.
Menurut salah seorang guru, dia amat teruja dengan perkongsian yang diberikan, terutama penggunaan aplikasi Stellarium di telefon pintar untuk menjejak bintang.
Kerana sambutan yang tinggi dalam kalangan ibu bapa, pelajar serta guru, PPD berhasrat untuk menjemput Stargazers UPSI untuk mengadakan pencerapan lagi. Walaupun tidak berpeluang mencerap dengan teleskop dalam tempoh yang lama, sesi pembentangan tetap memberi banyak ilmu baharu.

Program ini selari dengan inisiatif BITARA UPSI 2.0 yang diperkenalkan oleh Naib Canselor, Datuk Dr. Md Amin Md Taff, dalam usaha menjadikan UPSI sebagai universiti peneraju kebitaraan dalam pendidikan di Malaysia dan peringkat global.
Dengan menganjurkan program-program seperti ini, UPSI bukan sahaja memperkukuh hubungan dengan komuniti sekolah tetapi juga menyumbang kepada pembangunan modal insan yang berdaya saing di peringkat global.
