Dari kiri Dekan, FSM UPSI, Profesor Madya Dr. Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah; Dekan, FSK UPSI, Profesor Madya Ts. Dr. Nor Kalsum Mohd Isa dan Pensyarah FSM UPSI, Zaid Mat Said memegang sijil dan trofi kemenangan apabila meraih empat Anugerah Diamond sempena Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2024
Tanjong Malim, 27 Februari- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi menempa sejarah apabila menerima pengiktirafan 4 Diamond dalam program Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 (LCC2030c). Pengiktirafan ini disampaikan dalam Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2024 yang dirasmikan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Dekan Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Profesor Madya Ts Dr Nor Kalsum Mohd Isa berkata, “Pengiktirafan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) itu melibatkan dua Fakulti iaitu Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) dan Fakulti Sains dan Matematik (FSM).”
“Kedua-dua fakulti ini berjaya mengurangkan pelepasan karbon sehingga 33.45 peratus sejak 2022 melalui pengurusan sisa lestari dan penghijauan persekitaran kampus. Ini sejajar dengan hasrat UPSI untuk muncul sebagai sebuah kampus rendah karbon seperti yang diumumkan oleh Naib Canselor UPSI dalam Majlis Pelancaran UPSI sebagai Kampus Rendah Karbon pada awal Julai tahun lalu.”


“UPSI sememangnya komited terhadap pengurangan pelepasan karbon di seluruh kawasan kampus. Ini dibuktikan melalui pembinaan dewan terbuka dan parkir berbumbung serbaguna dengan panel solar di atasnya yang diaspirasikan sendiri oleh Naib Canselor UPSI, Profesor Dato Dr Md Amin Md Taff .”
“Sistem solar dipasang di lima kawasan merangkumi pelbagai kawasan parkir iaitu kompleks sukan, tapak pesta konvokesyen, bangunan fakulti, masjid dan beberapa kawasan lain,” katanya selepas majlis pengiktirafan yang diadakan di Sofitel Hotel, Kuala Lumpur pada 26 Februari yang lalu.
“Pucuk pimpinan sesebuah organisasi yang faham dan komited terhadap kepentingan pembangunan rendah karbon akan memudahkan hasrat Kerajaan untuk mencapai sifar karbon menjelang 2050 kelak tercapai sepenuhnya.”
“Bagi merealisasikan kampus rendah karbon, perlunya pelan tindakan, strategi serta inovasi rendah karbon untuk dilaksanakan dengan baik dan berterusan termasuk melalui penggunaan teknologi hijau. Membudayakan amalan rendah karbon dalam kalangan warga kampus juga sangat penting. Ini kerana, tanpa amalan dan budaya lestari ini menyebabkan sasaran rendah karbon tidak dapat dicapai secara optimum”. ujarnya.
Majlis ini turut dihadiri oleh Dekan Fakulti Sains dan Matematik, Prof Madya Dr Faizal Nizam Lee dan Zahid Mat Said, pensyarah di Jabatan Biologi, UPSI.
