Tanjong Malim, 20 Februari- Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (IPTTI), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK). Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sentiasa mencari peluang dan meneruskan usaha untuk menjalinkan hubungan dengan institusi di peringkat antarabangsa. IPPTI telah menerima lawatan daripada Universitas Islam Nusantara (UNINUS) untuk mengadakan perbincangan bersama pihak IPTTI. Lawatan ini mempunyai dua agenda utama, iaitu perbincangan jalinan kerjasama antara IPTTI dengan UNINUS dan Kolokium Pascasiswazah Antarabangsa.

Delegasi UNINUS terdiri daripada Prof. Dr. Endang Komara, M.Si. selaku Rektor UNINUS, Prof. Dr. Hidayat, M.Pd., Kepala Lembaga Penelitian dan Pengabdian Masyarakat, Dr. Ahmad Sukandar, S. Ag., M.M.Pd. Ketua Program Studi Magister Pendidikan Agama Islam dan beberapa daripada pihak pengurusan UNINUS. Manakala, pihak IPTTI pula diwakili oleh Prof. Dr. Azmil Hashim selaku Pengarah IPPTI, Profesor Madya Dr. Abd Hadi Borham Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), pensyarah-pensyarah Jabatan Pengajian Islam serta pihak pengurusan dan pentadbiran IPTTI.

Kolokium Pelajar Pascasiswazah yang dianjurkan telah berlangsung dengan jayanya, menampilkan pembentangan oleh empat pelajar pascasiswazah dari kedua-dua institusi. Sesi ini dipengerusikan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Mohd Noor dan melibatkan pembentangan daripada Nurul Atiqah Amanina Mashudi serta Aizat dari UPSI, manakala UNINUS diwakili oleh Jihan Siti Nurapriani dan Ahmad Sopandi. Kolokium ini menjadi platform penting bagi pertukaran ilmu dan idea dalam pelbagai bidang penyelidikan, sekali gus mengukuhkan hubungan akademik antara kedua-dua institusi.

Semasa sesi perbincangan antara pihak pengurusan IPTTI dan UNINUS, Surat Niat (Letter of Intent) telahpun ditandatangani oleh kedua-dua pihak menandakan persetujuan untuk menjalankan jalinan kerjasama berkenaan program yang bersesuaian dengan kedua-dua pihak pada masa akan datang.

Sementara itu, pihak IPTTI telah menyuarakan hasrat untuk menambah bilangan penerbitan artikel serta memperkukuh kerjasama dalam penyelidikan di peringkat antarabangsa. Pihak UNINUS menyambut baik inisiatif tersebut dan menunjukkan minat yang mendalam terhadap pengurusan serta program pengajian yang ditawarkan oleh IPTTI.