Oleh: Oleh: Intan Farahana Abdul Rani
Besut, Terengganu, 24 Februari– Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC) bersama Pusat Ulul Atelah mengadakan Penaziran Kurikulum Thalatha Tis’a di Taska KEMAS Pusat Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PPAK) Gong Kepas, Besut, pada 24 Februari lalu. Lawatan ini bertujuan untuk memastikan pelaksanaan kurikulum dan modul berjalan seperti yang diharapkan bagi mencapai objektif utama, iaitu memastikan kanak-kanak mula menghafaz Al-Quran seawal usia tiga tahun dan tamat hafazan sebelum mencapai usia sembilan tahun.
Penaziran ini diketuai oleh Profesor Madya Dr. Norazilawati Abdullah, ketua pengubal kurikulum dan Modul Thalatha Tis’a. Turut mewakili NCDRC ialah Dr. Masayu Dzainudin, Timbalan Pengarah (Akademik & Perkembangan Kanak-kanak), serta Dr. Intan Farahana Abdul Rani, Penyelaras Penerbitan, Jaringan Industri dan Komuniti, Dr. Tajul Rosli Shuib selaku Penyelaras 1, Pusat Ulul Albab turut serta dalam lawatan ini.
Ketibaan pasukan penaziran disambut oleh Tan Sri Dato’ Seri Haji Idris Jusoh, penaung program, serta Dr. Faridah Mat, Pengarah KEMAS Negeri Terengganu. Turut hadir ialah Norhisham Mohamad, Penolong Pengarah Kanan Pendidikan Awal Kanak-kanak KEMAS Negeri Terengganu, Azman Ngadiron, Pegawai KEMAS Daerah Besut, serta barisan Penyelia KEMAS Daerah Besut. Kehadiran mereka menunjukkan komitmen tinggi terhadap pelaksanaan program ini dan kepentingannya dalam memperkasakan pendidikan awal kanak-kanak.
Pemantauan yang dijalankan memberi tumpuan kepada pelaksanaan kelas Thalatha Tis’a, sebuah program perintis yang memfokuskan kepada hafazan kanak-kanak berusia 3 hingga 4 tahun. Pemantauan ini melibatkan penilaian terhadap pendekatan pengajaran yang digunakan, keberkesanan teknik hafazan yang diterapkan, serta pencapaian kanak-kanak dalam program ini. Tan Sri Idris bin Jusoh turut berkesempatan menyaksikan sendiri keberkesanan modul ini dalam membentuk asas pendidikan Islam bagi generasi muda.
Kelas Thalatha Tis’a menggunakan kaedah pengajaran yang inovatif dan sesuai dengan peringkat umur kanak-kanak, termasuk teknik hafazan berulang, penggunaan elemen visual dan audio, serta pendekatan interaktif yang dapat menarik minat kanak-kanak untuk menghafaz Al-Quran. Para pendidik juga diberi latihan intensif untuk memastikan mereka dapat mengaplikasikan kaedah yang paling berkesan dalam mengajar anak-anak kecil ini.
Selain pemantauan terhadap aspek akademik, pasukan penaziran turut menilai keadaan persekitaran pembelajaran di Taska KEMAS PPAK Gong Kepas. Aspek seperti kebersihan, keselamatan, dan keselesaan persekitaran pembelajaran turut diambil kira dalam memastikan suasana yang kondusif bagi kanak-kanak untuk belajar dan berkembang dengan baik.


Dalam sesi lawatan ini, para pegawai turut berbincang dengan tenaga pengajar serta ibu bapa mengenai cabaran dan keperluan dalam pelaksanaan kurikulum Thalatha Tis’a. Maklum balas yang diterima akan dijadikan panduan untuk penambahbaikan kurikulum dan modul bagi memastikan keberkesanannya dalam mencapai objektif utama program ini.
Kehadiran barisan kepimpinan UMNO Bahagian Besut serta pemimpin akademik dan industri dalam lawatan ini menunjukkan komitmen pelbagai pihak terhadap kejayaan program ini. Program ini diharap dapat memberi impak besar dalam pembangunan sahsiah dan intelektual kanak-kanak sejak usia muda, sekaligus melahirkan generasi yang celik Al-Quran serta berdaya saing dalam dunia pendidikan moden.

Penghargaan setinggi-tingginya diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan Kurikulum Thalatha Tis’a. Diharapkan program ini dapat diteruskan dengan jayanya, selaras dengan matlamat untuk melahirkan generasi celik Al-Quran sejak usia muda. Dengan kerjasama erat antara semua pihak yang terlibat, program ini diharapkan dapat diperluaskan ke lebih banyak institusi pendidikan awal kanak-kanak di seluruh negara, memberi manfaat kepada lebih ramai kanak-kanak dalam membentuk asas pendidikan Islam yang kukuh.
