Oleh: Naufal Hakimi Awang, Farah Mohd Noor & Cik Ummikalsum Mat Lazim

Kuala Lumpur, 18 Januari 2025 – Persatuan Tahfiz Qiraat (PTQ) dengan kerjasama Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (IPTTI), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Program Nature’s Alchemy: Healing The Heart pada 18 Januari 2025 yang penuh bermakna melibatkan lawatan ke dua destinasi utama iaitu Taman Tugu Kuala Lumpur dan Taman Tasik Titiwangsa.

Program ini telah mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan seramai 80 orang mahasiswa dari pelbagai bidang pengajian di UPSI.

Antara fakulti yang terlibat termasuk Fakulti Sains Kemanusiaan, Fakulti Sains dan Matematik, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Fakulti Pembangunan Manusia, serta Fakulti Bahasa dan Komunikasi.

Matlamat utama penganjuran program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran spiritual melalui penghayatan keindahan ciptaan Allah.

Selain itu, ia bertujuan memupuk rasa tanggungjawab terhadap kelestarian alam serta membantu peserta memahami amanah menjaga alam sekitar sebagai sebahagian daripada ibadah.

Program ini juga menggalakkan sikap menghargai dan melindungi keindahan semula jadi demi kesejahteraan generasi akan datang.

Di samping itu, ia berfungsi sebagai medium untuk memperkukuh kefahaman terhadap Al-Quran serta mengeratkan ukhuwah Islamiah dalam kalangan peserta melalui pelbagai aktiviti, termasuk sesi perkongsian tadabbur alam dan rehlah alam.

Program hiking dimulakan di Taman Tugu, Kuala Lumpur, di mana para peserta berpeluang menikmati keindahan alam semula jadi sambil meneroka denai hutan yang terpelihara.

Sepanjang sesi pendakian, mereka turut diberi pendedahan mengenai kepelbagaian flora dan fauna yang terdapat di kawasan tersebut sekaligus meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemuliharaan alam sekitar.

Selain itu, aktiviti ini juga menggalakkan gaya hidup sihat serta memperkukuh semangat kerjasama dalam kalangan peserta.

Aktiviti hiking menyelami alam

Menurut Pengarah Program, Naufal Hakimi, program ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan kesedaran spiritual melalui penghayatan keindahan ciptaan Allah, tetapi juga mendidik peserta tentang tanggungjawab mereka dalam memelihara alam sekitar.

“Alam semula jadi adalah bukti kebesaran Allah yang sering disebut dalam Al-Quran. Melalui program ini, kami berharap para peserta dapat memahami bahawa menjaga alam bukan sekadar tanggungjawab sosial, tetapi juga satu bentuk ibadah,” katanya.

Program diteruskan di Taman Tasik Titiwangsa, di mana para peserta berpeluang menikmati keindahan tasik sambil menyertai pelbagai aktiviti rekreasi seperti berjalan santai, berbasikal dan berkayak.

 
Mahasiswa UPSI bergambar di Taman Tugu, Kuala Lumpur

Selain itu, mereka turut didedahkan kepada kepelbagaian flora dan fauna di kawasan ini serta kepentingan menjaga ekosistem tasik.

Program ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat tetapi juga memperkukuh semangat kerjasama dan apresiasi terhadap keindahan alam sekitar dalam kalangan peserta.

Menurut Siti Zulaikha daripada Fakulti Sains Matematik, ‘aktiviti seperti ini memberi peluang yang sangat berharga untuk pelajar menghayati keindahan alam semula jadi serta kepentingan gaya hidup sihat.

Mahasiswa UPSI berbasikal menikmati flora dan fauna

Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi membina mahasiswa yang lebih peka terhadap kepentingan pemuliharaan alam sekitar dan kesejahteraan fizikal’.

Aktiviti di Taman Tasik Titiwangsa ini berjaya memperkukuh kefahaman peserta tentang hubungan antara kehidupan moden dan keperluan untuk mengekalkan keseimbangan dengan alam semula jadi.

Mahasiswa UPSI berkongsi pengalaman tentang alam dan kehidupan

Secara keseluruhannya, rehlah cinta alam ini bukan sahaja mendekatkan diri kepada Allah, tetapi juga memperbaiki hubungan sesama insan serta menyemai sikap cinta kepada alam sebagai sebahagian daripada kehidupan beragama