Oleh: Nur Syazana binti Asri

Tanjung Malim, 25 Februari 2025 – Kelab UPSI Global Buddies dengan kerjasama erat Pusat Antarabangsa dan Mobiliti (IMC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya melaksanakan ASEAN Student Mobility Programme 2025 bersempena dengan Program ASEAN Universities Exhibition and Forum (AEF) 2025.

Program berprestij ini berlangsung dari 19 Februari hingga 23 Februari 2025 dan melibatkan penyertaan seramai 14 orang pelajar dari negara-negara ASEAN seperti Indonesia, Thailand, Filipina, Kemboja dan Vietnam.

Menurut Pengarah Program, Prishalini Devi A/P Ganesan, penganjuran program ini bertujuan menggalakkan kolaborasi dalam kalangan pelajar universiti ASEAN bagi melahirkan solusi inovatif yang berupaya menangani cabaran serantau secara bersama.

“Program ini bukan sekadar menyediakan platform mobiliti pelajar secara fizikal dan maya, malah turut membuka ruang pembentukan jaringan akademik serta profesional di peringkat antarabangsa,” ujar beliau.

Timbalan Pengarah 1 IMC merangkap penasihat kelab, Dr. Nor Fadila Kasim, turut menegaskan bahawa ASEAN Student Mobility Programme 2025 merupakan antara inisiatif signifikan yang dirangka khusus bagi memperkukuh hubungan serantau antara institusi pengajian tinggi di ASEAN.

Dengan penglibatan aktif pelajar daripada pelbagai latar belakang budaya dan akademik, program ini berupaya meningkatkan pemahaman silang budaya serta memperkukuh pencapaian akademik dalam menghadapi cabaran global masa kini.

Majlis perasmian telah disempurnakan dengan penuh simbolik oleh Dr. Nor Fadila sendiri. Dalam ucapannya, beliau berkata UPSI amat berbesar hati dan berbangga kerana diberi kepercayaan menjadi tuan rumah kepada program berprestij ini.

“Kami percaya bahawa pertukaran idea bernas serta perkongsian kepakaran antara pelajar ASEAN bakal membuka pintu kerjasama strategik yang berpanjangan pada masa hadapan.”

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti bermakna dan interaktif telah dilaksanakan bagi memberi pendedahan holistik kepada para peserta.

Pada hari pertama, peserta disambut mesra di Politeknik Nilai, Negeri Sembilan sebelum bertolak ke UPSI, diikuti dengan sesi pendaftaran serta taklimat peraturan kampus yang menyentuh aspek disiplin, budaya kampus dan etika sepanjang program berlangsung.

Ketibaan Pelajar ASEAN di Politeknik Nilai

Hari kedua dimulakan dengan sesi suai kenal yang diserikan menerusi program “Manis 2U”, iaitui pembuatan kuih raya moden Malaysia.

Aktiviti ini turut disertai oleh empat pelajar antarabangsa UPSI dan diadakan di Bengkel Pembuatan Makanan, Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV).

Para peserta turut berpeluang melawat Perpustakaan Tuanku Bainun serta Muzium Pendidikan Nasional UPSI, sebelum menyertai aktiviti rekreasi lasak seperti berkayak dan menaiki ATV di UPSI Adventure Park. Pada sebelah malam, peserta dibawa menikmati keindahan bintang dan planet  menerusi aktiviti “Stargazing” yang berlangsung di perkarangan Dewan Tuanku Canselor.

Pelajar-pelajar ASEAN menyertai aktiviti – aktiviti yang dijalankan di Bengkel Pembuatan Makanan FTV, Perpustakaan Tuanku Bainun, UPSI Adventure Park dan perkarangan Dewan Tuanku Canselor

Hari ketiga menyaksikan penganjuran Bengkel Inovasi yang merangkumi tiga sesi diskusi berfokuskan isu-isu cabaran serantau.

Melalui sesi ini, para peserta diberi ruang membentangkan idea-idea inovatif mereka yang kemudiannya dinilai untuk dipertandingkan semasa Majlis Penutup AEF 2025 di Kuala Lumpur.

Pada sebelah malam, suasana ceria dan penuh warna-warni menyelubungi Dewan Sri Tanjung dengan penganjuran Cultural Night yang menampilkan persembahan kebudayaan daripada pelbagai negara ASEAN.

Antara yang dipersembahkan termasuk tarian tradisional Melayu, peragaan busana tradisional ASEAN serta sesi perkongsian budaya yang meriah dan bermakna.

Gambaran sesi bengkel inovasi serta suasana aktiviti Cultural Night bersama pelajar-pelajar ASEAN

Pada hari keempat, para peserta dibawa keluar kampus bagi meneroka keunikan alam semula jadi di National Wildlife Rescue Centre (NWRC), Sungkai.

Seterusnya, mereka berkesempatan merasai pengalaman berendam di Sungai Klah Hot Spring sebelum menutup hari mereka dengan lawatan santai ke pasar malam di Pekan Tanjung Malim.

Lawatan ini memberi peluang kepada peserta merasai sendiri keunikan budaya tempatan serta menikmati pelbagai juadah tradisional Malaysia.

Pelajar – pelajar ASEAN kelihatan gembira dalam menyertai lawatan ke National Wildlife Rescue Centre (NWRC), Sungai Klah Hot Spring serta pasar malam di Pekan Tanjong Malim

Pada hari kelima, program melabuhkan tirainya menerusi Majlis Penutupan Rasmi yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Fakulti Pembangunan Manusia.

Majlis tersebut diserikan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada semua peserta serta sesi refleksi pengalaman sepanjang program.

Para peserta berkongsi pandangan dan aspirasi mereka mengenai program ini, diikuti sesi bergambar kenangan sebelum berangkat ke Kuala Lumpur bagi menghadiri pameran dan forum AEF 2025 di Sunway Resort Hotel.

Menariknya, dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, para peserta turut diberi peluang melawat beberapa lokasi ikonik di ibu negara seperti Central Market, Pasar Seni dan Menara Berkembar Petronas (KLCC).

Seusai Majlis Penutup AEF 2025 pada 25 Februari, para peserta dihantar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) oleh wakil-wakil pelajar UPSI sebelum berlepas pulang ke negara masing-masing.

UPSI Global Buddies dan IMC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian dan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh semua pelajar ASEAN sepanjang program ini berlangsung. Kerjasama erat dan semangat yang dipamerkan jelas mencerminkan kekuatan kerjasama serantau yang diidamkan.

Sesi bergambar bersama pelajar-pelajar ASEAN semasa majlis penutup Student Mobility Programme di UPSI dan ASEAN Universities Exhibition and Forum (AEF) 2025 di Sunway Resort Hotel.
Sesi bergambar bersama pelajar-pelajar ASEAN semasa majlis penutup Student Mobility Programme di UPSI dan ASEAN Universities Exhibition and Forum (AEF) 2025 di Sunway Resort Hotel.

Secara keseluruhannya, ASEAN Student Mobility Programme 2025 telah membuktikan komitmen tinggi UPSI dalam memperkukuh pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara.

Inisiatif ini juga selaras dengan aspirasi Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, yang dalam ucapan penutupnya di AEF 2025 menegaskan bahawa mobiliti pelajar merupakan tunjang utama memperkukuh integrasi serantau.

Mobiliti ini juga diyakini mampu mengangkat peranan universiti sebagai pemangkin inovasi, pemacu pembangunan sosial serta peneraju ekonomi serantau yang mampan dan berdaya saing di persada antarabangsa.