Oleh: Wan Nafisah Wan Abd Halim, Ahmad Afifi Nik Asri dan Cik Ummikalsum Mat Lazim

Gerik, 18 Februari 2025 – Dua puluh dua orang penuntut dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini berpeluang mendekati penduduk Orang Asli di Kampung Klewang, Royal Belum bagi mengenali adat resam, budaya dan bahasa mereka.

Program UPSI Empower: CSR X BTS merupakan inisiatif pimpinan Persatuan Tahfiz Qiraat (PTQ) UPSI sidang 2024/2025 bertujuan memupuk hubungan erat antara penuntut universiti dan komuniti Orang Asli melalui aktiviti sosial, menyalurkan bantuan Bakul Madani dan keperluan harian.

Selain itu, program ini turut menjadi platform bagi pelajar universiti membangunkan kemahiran insaniah melalui interaksi langsung dengan komuniti setempat.

Program ini turut mendapat kerjasama daripada Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (IPTTI), Team Kesukarelawanan Fakulti Sains Kemanusiaan (V-FSK4U), Jabatan Hal Ehwal Pelajar(JHEPA), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Tanjong Malim serta mendapat sokongan padu daripada pelbagai penaja, termasuk Citra Grafik, Petronas Bandar Behrang 2020, Ahli Tuan Kamarul (Ahli Majlis Daerah Tanjung Malim), Kripeks Md Shah 7 Asiah Sdn. Bhd, serta sumbangan daripada individu perseorangan.

Penasihat Persatuan Tahfiz Qiraat, Cik Ummikalsum berkata bahawa program ini bukan sahaja memberi impak positif kepada masyarakat Orang Asli, tetapi juga memainkan peranan penting dalam pembentukan sahsiah mahasiswa.

“Selain itu, program ini turut memberi pendedahan kepada mahasiswa tahfiz mengenai kepelbagaian budaya dan cabaran sosial, sekali gus memupuk nilai empati, keprihatinan, serta semangat sukarelawan dalam diri mereka.

Pada masa yang sama, ia turut membantu meningkatkan kemahiran komunikasi, kepimpinan, dan kerja berpasukan melalui pengalaman pembelajaran secara langsung,” tambahnya

Pengarah program, Ahmad Afifi, menyatakan bahawa program ini dapat memberikan pendedahan kepada mahasiswa mengenai realiti kehidupan komuniti tersebut. 

“Program ini dapat memupuk semangat kesukarelawanan dan keprihatinan dalam kalangan mahasiswa, di samping memberi mereka peluang untuk berbakti kepada masyarakat serta mengasah kemahiran insaniah dalam persekitaran yang berbeza,” katanya.

Penyerahan Bakul Madani kepada Tok Batin Kampung Klewang, Zamri Libis

Menurut Tok Batin, Ketua Kampung Klewang, kehadiran para peserta bukan sahaja mempererat hubungan dengan masyarakat Orang Asli, tetapi juga memberi impak besar melalui perkongsian ilmu, terutamanya kepada kanak-kanak di kampung tersebut. 

“Kami amat menghargai usaha yang dilakukan dalam membimbing dan berkongsi ilmu dengan anak-anak kami. Pendedahan seperti ini sangat bermakna kerana ia membantu mereka mengenal dunia luar, meningkatkan minat terhadap pendidikan, serta memberi motivasi untuk terus belajar dan maju dalam kehidupan,” katanya.

Aktiviti Bersama Kanak-kanak Orang Asli
Para peserta sedang beramah mesra Bersama kanak-kanak Orang Asli
Para peserta turut berpeluang berkongsi ilmu dengan kanak-kanak Orang Asli

Penganjuran program ini secara tidak langsung menyokong beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), terutamanya dalam aspek pendidikan, kesejahteraan sosial, dan pemerkasaan komuniti.

Program ini selaras dengan SDG 3: Kesihatan dan Kesejahteraan yang Baik, SDG 4: Pendidikan Berkualiti, SDG 10: Mengurangkan Ketidaksamaan, serta SDG 17: Perkongsian untuk Mencapai Matlamat. Inisiatif ini juga sejajar dengan aspirasi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam melahirkan mahasiswa yang kalis cabaran serta berdaya saing di peringkat global.

Kesimpulannya, program ini bukan sahaja memberi impak positif kepada komuniti Orang Asli tetapi juga menyumbang kepada pencapaian SDG secara holistik, sekali gus membentuk masyarakat yang lebih inklusif dan lestari.