Oleh: Mimi Batrisyia Mohd Norli, Muhammad Azfar Malem & Ummikalsum Mat Lazim
Sungai Buloh, 15 Mac 2025 – Persatuan Tahfiz Qiraat (PTQ), Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (IPTTI), Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya menganjurkan program ‘Heart & Hustle 1.0: The Gift of Ramadan’, anjuran bersama V-FSK4U dan Pusat Islam UPSI serta disokong oleh JHEPA, Al-Mursyidin Club, Rakan Siswa YADIM, Kelab Sahabat Ulul Albab, HARMONI UPSI, MyFundAction Perak, Team Jungle Heroes, dan Team Blackparade Tactics.
Program yang berlangsung pada 15 Mac ini telah menyaksikan penyertaan seramai 38 mahasiswa UPSI yang turun padang bersama 75 anak yatim dan asnaf dari Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Sungai Buloh, Selangor.
Inisiatif ini bertujuan untuk menyantuni anak-anak yatim dan asnaf dengan penuh kasih sayang serta memberikan mereka motivasi dan bimbingan rohani dalam menghadapi kehidupan. Selain itu, program ini turut menjadi platform bagi mahasiswa UPSI untuk memupuk kesedaran sivik, menanam nilai kemanusiaan, serta memahami tanggungjawab sosial terhadap golongan yang memerlukan.


Pengarah program, Mimi Batrisyia menyatakan bahawa program ini memberi peluang kepada mahasiswa untuk menyantuni anak-anak yatim serta memahami kepentingan berkongsi rezeki dan kasih sayang, khususnya dalam bulan Ramadan.
“Program ini bukan sahaja memupuk semangat kesukarelawanan dan keprihatinan dalam kalangan mahasiswa, tetapi juga mengajar mereka tentang kepentingan membina ukhuwah dengan golongan yang memerlukan serta menghayati nilai-nilai kebersamaan dalam Islam,” katanya.
Menurut Pengurus Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, kehadiran para peserta bukan sahaja menceriakan anak-anak yatim, tetapi juga memberi impak positif dalam aspek emosi dan motivasi mereka.
“Kami amat menghargai usaha yang dilakukan oleh mahasiswa UPSI dalam menyantuni anak-anak di sini. Program seperti ini sangat bermakna kerana ia bukan sahaja memberi kegembiraan kepada mereka, tetapi juga membangkitkan semangat mereka untuk terus berusaha dan melihat masa depan dengan lebih cerah,” katanya.

Menurut Penasihat Persatuan Tahfiz Qiraat, Ummikalsum Mat Lazim, program ini sejajar dengan ajaran Islam yang menekankan kepentingan berbuat baik kepada anak yatim. Beliau turut mengingatkan tentang sabda Rasulullah SAW: “Aku dan orang yang memelihara anak yatim di dalam syurga seperti ini.” Baginda lalu menunjukkan jari telunjuk dan jari tengahnya serta merapatkan kedua-duanya. (Hadis Riwayat Bukhari). Hadis ini menggambarkan betapa besarnya ganjaran bagi mereka yang menyantuni dan membantu anak yatim dengan penuh keikhlasan.



Secara keseluruhannya, Heart & Hustle 1.0: The Gift of Ramadan berjaya mencapai matlamatnya dalam menyantuni anak-anak yatim serta memupuk nilai kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa UPSI. Program ini bukan sahaja memberi kegembiraan kepada golongan yang memerlukan, tetapi juga menjadi platform bagi mahasiswa untuk memahami kepentingan berkongsi rezeki, membina ukhuwah, dan mengasah kemahiran insaniah dalam persekitaran yang berbeza.
Persatuan Tahfiz Qiraat (PTQ) berharap agar program sebegini dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa akan datang, selaras dengan usaha mencapai SDG 1: Tiada Kemiskinan dan SDG 16: Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh. Semoga inisiatif ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai pihak untuk turut serta dalam usaha kebajikan dan pembangunan sosial demi kesejahteraan ummah.
