Oleh: Nor Aimi Nabila Shamsulazman

Tanjong Malim, 25 Mac 2025 – Pusat Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) serta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) menganjurkan Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran Perdana dalam usaha memperkukuh ukhuwah serta memupuk budaya cintakan Al-Quran dalam kalangan warga universiti.

Program yang berlangsung di Masjid Al-Mursyidin UPSI itu menghimpunkan lebih 150 peserta, terdiri daripada kakitangan dari pelbagai pusat tanggungjawab serta pelajar, dalam usaha menggalakkan pembacaan dan penghayatan Al-Quran sepanjang Ramadan.

Sebagai sebahagian daripada program, gimik penyerahan ‘Bakul Aidilfitri’ anjuran WEZAS turut diadakan dengan penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Profesor Dr. Norkhalid Salimin dan Bendahri UPSI, Tuan Haji Mohamad Najib Mohamed.

Inisiatif itu bertujuan menyemarakkan semangat kebersamaan serta membantu golongan memerlukan menjelang Aidilfitri.

Majlis berakhir pada 11 pagi, dengan pihak penganjur menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program itu.

Diharapkan inisiatif ini dapat diteruskan bagi menggalakkan budaya membaca dan memahami Al-Quran dalam kalangan warga universiti, sekali gus menyemarakkan penghayatan Islam sebagai panduan hidup.