Tanjong Malim, 26 Mac 2025- Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) , Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Jabatan Penerangan dan Komunikasi, telah mengadakan satu terbitan lagu raya yang berjudul “Tradisi Raya” bersama 4A’s! Dr Abdul (BITARA) & Amin Nordin (Smart Audio Music) berkolaborasi bersama Arif & Aiman (YDP & Exco MPPUPSI) dan kerjasama Pusat Kebudayaan UPSI.
Terbitan lagu ini adalah satu inisiatif yang diwujudkan oleh pihak MPPUPSI untuk menyampaikan mesej positif kepada seluruh warga UPSI terutamanya bagi meraikan Syawal yang mulia yang bakal menjelma.
Dengan mengaplikasikan konsep Joget Zapin dalam lagu “Tradisi Raya” ini, menjadikan konsep lagu ini lebih santai dan seronok didengari oleh pelbagai lapisan masyarakat. Penglibatan MPPUPSI yang terdiri daripada saudara Mohammad Arif Aizat (YDP MPP UPSI 24/25) dan Muhamad Nur Aiman (Exco MPP UPSI 24/25) menjadikan satu tarikan baru dalam mengetengahkan pemimpin pelajar dalam menyampaikan mesej harmoni dan maaf bermaafan kepada pelajar dan komuniti.
Kerjasama dari pihak Smart Audio Music yang dipimpin oleh Amin Nordin yang telah banyak membantu dalam menjayakan konsep lagu raya ini sangatlah dihargai.
Dengan pelaksanaan inisiatif ini, diharapkan MPP dapat menunjukkan contoh kepimpinan yang telus dan berdaya saing, sejajar dengan peranan mereka sebagai wakil suara mahasiswa. Hubungan erat antara pihak universiti dan pihak penerbitan lagu dapat membina satu imej baru MPPUPSI untuk lebih dikenali dan mampu berdaya saing dalam segenap industri. Semoga inisiatif ini dapat dijadikan contoh kepada pelajar terutamanya warga UPSI untuk lebih berdaya saing ke arah masa depan.
