oleh: Dr. Sabarina Shafie, Dr. Ijlal Mohd Diah, Dr. Nurihan Nasir, Tuan Nur Izyani Tuan Khairul Anuar dan Nur Izzatul Najwa Baharudin
Tanjong Malim, 26 Mac 2025 – Persatuan Mahasiswa Matematik UPSI (PMMU) dengan kerjasama Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan Program Tazkirah Santai Ramadan “Hipokrit Jalan Ikhlaskan Diri”.
Program ini diadakan secara atas talian melalui platform Google Meet dan Facebook Live PMMU sekali gus membuka ruang penyertaan yang lebih luas kepada para pelajar dan pensyarah, khususnya bagi para pelajar UPSI yang sedang melalui sesi pembelajaran secara atas talian.


Program Tazkirah Santai Ramadan “Hipokrit Jalan Ikhlaskan Diri” ini menumpukan kepada perkongsian tazkirah berkenaan konsep hipokrasi dan keikhlasan dalam menunaikan ibadah serta dorongan untuk istiqamah dan terus beramal sehingga mencapai keikhlasan yang sebenar.
Penceramah jemputan bagi program tazkirah ini ialah Dr. Abdul Jalal Abdul Manaf yang merupakan Pensyarah Pendidikan Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI.


Melalui dua platform atas talian di atas, seramai lebih daripada 300 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan para pensyarah telah menyertai program ini.
Para peserta mendapat pencerahan tentang cara untuk mengikhlaskan diri, tahap-tahap untuk mencapai keikhlasan dan perkara-perkara syirik yang perlu dielakkan.
Di samping itu, satu perkongsian menarik oleh Dr. Abdul Jalal adalah berkenaan perkara-perkara yang membantu memupuk rasa ikhlas dalam ibadah.

Pertama, bersahabat dengan rakan-rakan yang rajin mengunjungi masjid / surau. Kedua, melakukan perubahan tidak secara drastik dalam melakukan ibadah-ibadah sunat seperti membaca Al-Quran dan menunaikan solat sunat. Ketiga, sentiasa berdoa kepada Allah untuk sentiasa menerima amalam kita.
Program Tazkirah Santai Ramadan “Hipokrit Jalan Ikhlaskan Diri” ini secara tidak langsung memberi peringatan kepada kita untuk memperbanyakkan ibadah ketika bulan Ramadan. Semoga program ini dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang.
