Oleh: Fayyadhatul Alyaa
Tanjong Malim, 5 Mac 2025 – Bulan Ramadan merupakan waktu yang penuh keberkatan dan keinsafan, di mana umat Islam berlumba-lumba melakukan kebajikan. Menyedari kepentingan membantu mereka yang memerlukan, Projek Kasih Ramadan yang diketuai oleh Pegawai Psikologi Pusat Kaunseling, Najidah Yahaya dengan matlamat untuk menyantuni para pelajar kolej yang masih menetap di universiti sepanjang bulan Ramadan.
Projek ini bertujuan untuk menyediakan makanan kepada 100 orang pelajar kolej yang tidak pulang ke kampung halaman mereka di bulan Ramadan. Dengan adanya program ini, para pelajar dapat menikmati juadah berbuka puasa dan sahur tanpa perlu risau tentang perbelanjaan harian mereka. Inisiatif ini juga bertujuan untuk meringankan beban kewangan mereka serta memberikan sokongan moral agar mereka dapat menjalani ibadah puasa dengan lebih tenang dan selesa.



Projek Kasih Ramadan diharapkan dapat memberikan impak positif kepada para pelajar yang memerlukan, selain menyemai rasa keprihatinan dan kasih sayang dalam kalangan masyarakat. Dengan adanya inisiatif ini, diharapkan lebih ramai pihak akan terinspirasi untuk turut serta dalam usaha kebajikan dan membantu mereka yang memerlukan.
Bagi mereka yang ingin turut serta sebagai sukarelawan atau menyumbang kepada mana-mana projek pada masa akan datang, boleh menghubungi pihak penganjur di pusat kaunseling bagi memperbanyakkan tenaga kerja dan sumbangan anda sampai kepada orang yang memerlukan. Semoga program ini menjadi satu usaha berterusan dalam menyebarkan kasih sayang dan keprihatinan kepada golongan yang memerlukan.
