Oleh: Dorothy Dolly Anthony

Tanjong Malim, 28 Februari 2025 – Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah diwakili oleh Dorothy Dolly Anthony selaku Timbalan Yang Dipertua MPP UPSI dan Nur Adila Muhamad Munshi selaku Exco Akademik dan Kerjaya MPP UPSI dalam persidangan Sidang Siswi Kebangsaan 2025 yang diadakan bertempat di Universiti Sains Malaysia dan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada 26 hingga 28 Februari 2025.

Persidangan Sidang Siswi Kebangsaan 2025 yang bertemakan Accelerate Action ini dianjurkan buat julung kalinya bagi memberi ruang dan peluang kepada mahasiswi untuk saling melontarkan pandangan bagi menyelesaikan isu berkaitan dengan kewanitaan.

Melalui persidangan ini juga, pemimpin wanita dapat bersama-sama mengumpulkan cadangan serta idea yang menjurus ke arah agenda pemerkasaan golongan wanita terutamanya dalam kalangan mahasiswi seluruh Malaysia.

Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Law Choo Kiang dalam majlis perasmian penutupan Sidang Siswi Kebangsaan 2025 menyambut baik inisiatif penganjuran persidangan ini dan berharap agar persidangan ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

Beliau juga mengharapkan agar lebih ramai pemimpin wanita dalam kalangan belia berani untuk melangkah ke hadapan demi mencorak hala tuju politik negara.

Penganjuran ini dilihat selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang diketengahkan, iaitu SDG 4 yang berkaitan dengan pendidikan berkualiti yang memberikan pengetahuan dan meningkatkan kemahiran berkomunikasi dengan baik dalam kalangan ahli pemimpin wanita Majlis Perwakilan Pelajar setiap Universiti Awam di seluruh Malaysia.

Seterusnya, penekanan terhadap kesaksamaan gender yang terkandung dalam SDG 5 melalui pemerkasaan peranan golongan mahasiswi dalam komuniti.

Bukan itu sahaja, malah SDG 17 iaitu perkongsian untuk matlamat mampu dicapai melalui kata sepakat dan jalinan kerjasama yang baik bersama Universiti Awam seluruh Malaysia serta organisasi-organisasi yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan persidangan Sidang Siswi Kebangsaan 2025.

Persidangan Sidang Siswi Kebangsaan 2025 ini telah dihadiri oleh 12 Universiti Awam dengan penyertaan peserta yang terdiri daripada pemimpin wanita dalam kalangan ahli Majlis Perwakilan Pelajar.

Program ini diisi dengan pelbagai aktiviti bermanfaat yang dapat membuka minda mahasiswi untuk berfikir secara lebih progresif ke arah kemajuan wanita.

Antara pengisian aktiviti yang dilaksanakan ialah Bengkel “Women in Politics” anjuran bersama Penang Women Development Centre, Majlis Sambutan Hari Wanita Sedunia, Bengkel Persediaan Sidang Siswi dan Persidangan Sidang Siswi Kebangsaan 2025.

Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Law Choo Kiang dan Pengerusi PTPTN, Dato’ Seri Norliza binti Abdul Rahim telah dilantik sebagai speaker dewan bagi mempengerusikan persidangan ini.

Sebanyak 10 usul berkaitan kewanitaan telah dibahaskan dalam Persidangan Sidang Siswi Kebangsaan 2025.

Antara usul yang dibahaskan adalah berkaitan dengan status kesihatan mental golongan wanita yang perlu dititikberatkan oleh masyarakat dari seawal usia kanak-kanak sehingga meningkat dewasa serta penekanan terhadap hak wanita yang tertindas akibat kes penderaan, keganasan rumah tangga, gangguan seksual dan diskriminasi terhadap wanita di tempat kerja.

Semua usul yang dibahaskan ini disuarakan dalam Persidangan Sidang Siswi Kebangsaan 2025 bagi menunjukkan kekuatan suara wanita dalam menangani isu-isu semasa yang berlaku terhadap golongan wanita dari aspek sosial mahupun ekonomi.

Akhir kata, Persidangan Sidang Siswi Kebangsaan 2025 ini adalah bukti nyata bahawa suara belia wanita merupakan lambang perubahan, pembaharuan dan harapan untuk masa depan yang lebih cerah sekali gus menjadi inspirasi kepada golongan wanita agar lebih berani melangkah ke hadapan demi memperjuangkan hak mereka.

Melalui persidangan ini juga, pemimpin wanita dapat memberi sumbangan kepada negara demi kebaikan bersama.