oleh NUR SYAZWANA CHE GHANI

TANJUNG MALIM, 26 APRIL 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini menjadi saksi kepada kebangkitan suara mahasiswa apabila program Jelajah Aspirasi ’26: Wacana Mahasiswa Utara menghimpunkan kepimpinan pelajar dari seluruh Malaysia dalam satu platform berimpak tinggi. 

Program yang berlangsung di Panggung Percubaan, KSAS, UPSI itu bukan sekadar sesi libat urus biasa, sebaliknya tampil sebagai medan strategik bagi mahasiswa menyuarakan pandangan, membentangkan resolusi dan mengangkat isu-isu kritikal kebajikan yang sedang membelenggu kehidupan pelajar masa kini. 

Lebih mencuri perhatian, program ini turut menghimpunkan barisan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dari seluruh Malaysia, menjadikan UPSI sebagai pentas nasional suara mahasiswa. Kehadiran kepimpinan pelajar dari pelbagai universiti memperlihatkan satu gelombang baharu iaitu mahasiswa bersatu, berani dan bersedia memainkan peranan sebagai rakan strategik dalam pembangunan pendidikan tinggi negara. 

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, dalam ucapannya menegaskan kepentingan platform sebegini dalam memastikan suara mahasiswa terus didengar dan diberi perhatian sewajarnya. 

“Sesi sebegini amat penting kerana ia membuktikan bahawa suara mahasiswa sentiasa diberi perhatian dan ruang sewajarnya untuk diketengahkan kepada pihak berkepentingan.” 

Menurut beliau, penganjuran program seperti ini amat signifikan dalam menyediakan ruang konstruktif kepada mahasiswa untuk berkongsi idea serta mengetengahkan isu yang dekat dengan kehidupan mereka. 

Dalam sesi pembentangan resolusi oleh Jawatankuasa Task Force Kebajikan Siswa, beberapa isu utama telah diketengahkan, antaranya peningkatan kos sara hidup, kenaikan kos pengangkutan harian serta sekuriti makanan mahasiswa, termasuk kenaikan harga makanan di kampus yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan pelajar. 

Datuk Profesor Dr. Azlinda turut menegaskan bahawa isu-isu ini mencerminkan realiti semasa yang memerlukan tindakan segera dan kerjasama pelbagai pihak. 

“Isu-isu yang dibangkitkan ini mencerminkan realiti semasa yang sedang dihadapi oleh mahasiswa dan memerlukan kerjasama erat antara kementerian, institusi pendidikan tinggi serta kepimpinan mahasiswa dalam mencari penyelesaian yang holistik, praktikal dan berimpak.” 

Program ini turut diserikan dengan kehadiran barisan kepimpinan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), wakil universiti serta mahasiswa dari seluruh Malaysia, menjadikan wacana ini lebih inklusif dan menyeluruh. 

Lebih daripada sekadar pertemuan, Jelajah Aspirasi ’26 membuktikan bahawa mahasiswa hari ini bukan lagi sekadar pemerhati, tetapi telah muncul sebagai pencorak masa depan negara. Dari utara hingga selatan, suara mereka kini bergabung menjadi satu yang menuntut kesejahteraan, keadilan dan masa depan pendidikan tinggi yang lebih mampan. 

Pengarah program, Muhammad Luqman Nurhakim, Yang Dipertua MPP UPSI 2025/2026 turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua mahasiswa yang berani tampil ke hadapan, menyuarakan pandangan dan memperjuangkan hal ehwal mahasiswa. 

UPSI pada hari ini bukan sekadar lokasi penganjuran, tetapi menjadi simbol kepada penyatuan suara mahasiswa Malaysia. Satu gelombang besar anak muda yang tidak lagi bergerak secara berasingan, sebaliknya tampil sebagai kekuatan kolektif yang mampu mengubah landskap pendidikan tinggi negara.