Oleh: Muhammad Syafiq Razali dan Nurul Syahira Roslaili
KUALA LUMPUR, 12 APRIL 2025 – Geo-Connect: Jelajah Ilmu Merentasi Sempadan menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh jaringan akademik dan kepimpinan mahasiswa antara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Malaya (UM) melalui kolaborasi strategik antara Persatuan Geografi di kedua-dua universiti yang bertempat di Universiti Malaya selama satu hari.
Program ini menghimpunkan Majlis Tertinggi dan Exco Persatuan Geografi UPSI serta UM dalam satu pertemuan rasmi yang membolehkan pertukaran idea, amalan terbaik serta perkongsian pengalaman dalam mengurus organisasi pelajar yang lebih tersusun dan berkesan.
Terdapat beberapa objektif program antaranya ialah pertama mengeratkan hubungan antara dua persatuan Geografi daripada dua institusi pendidikan tinggi.
Kedua, berkongsi amalan terbaik dalam pengurusan organisasi dan kepimpinan persatuan. Ketiga, membincangkan program yang telah dijalankan oleh kedua-dua pihak serta impak kepada ahli dan komuniti.
Keempat menjana idea dan pelan tindakan bagi program kolaboratif yang boleh dijalankan bersama pada masa akan datang.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Dr. Aimee selaku Penyelaras Persatuan Geografi Universiti Malaya. Beliau menzahirkan penghargaan atas inisiatif UPSI menjalin hubungan kerjasama dan menekankan kepentingan interaksi rentas institusi sebagai wadah memperkasa kepimpinan pelajar dalam konteks pendidikan tinggi masa kini.
Ucapan diteruskan oleh Khirbasri Reho, Yang Dipertua Persatuan Geografi UM, yang menyambut baik kehadiran delegasi dari UPSI dan menyatakan hasrat untuk meneruskan kerjasama berterusan dalam pelbagai bidang yang berkaitan dengan akademik, kesukarelawanan dan pembangunan mahasiswa.
Dalam pada itu, Muhammad Syafiq Razali selaku Yang Dipertua Persatuan Geografi UPSI, menyifatkan program ini sebagai platform penting dalam membuka ruang kolaborasi antara universiti, di samping menjadi bukti kesungguhan mahasiswa dalam memperluas jaringan dan menjayakan agenda pembangunan geografi negara.
Kemuncak program menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Kerjasama Pintar (Smart Partnership MoU) antara Persatuan Geografi UPSI dan UM.
Memorandum ini menjadi asas kepada pelaksanaan pelbagai program bersama yang dirancang, termasuk pertukaran pelajar, forum akademik, lawatan ilmiah serta projek komuniti yang melibatkan kedua-dua pihak pada masa akan datang.
Antara pengisian sepanjang program termasuk sesi taklimat pengurusan organisasi pelajar oleh pihak UM berkaitan perkongsi program-program terdahulu yang telah berjaya dilaksanakan seperti seminar, bengkel akademik, aktiviti kemasyarakatan, dan lawatan ilmiah.
Fokus perbincangan adalah kepada objektif, pengurusan, serta keberkesanan program terhadap ahli persatuan. Selain itu, terdapat juga sesi dialog kepimpinan mahasiswa, lawatan sekitar kampus Universiti Malaya serta sesi pertukaran cenderamata sebagai simbolik permuafakatan dan semangat setiakawan antara dua persatuan.
Program ini diakhiri dengan sesi bergambar sebagai kenangan, seterusnya mengukuhkan iltizam kedua-dua persatuan untuk terus menjalin kerjasama yang mampan demi kecemerlangan bidang geografi dan kepimpinan mahasiswa di Malaysia.



Geo-Connect: Jelajah Ilmu Merentasi Sempadan ini secara tuntasnya telah berjaya memberi inspirasi kepada para sukarelawan program terutamanya aktivis PERGEO agar terus mengorak langkah dalam menganjurkan program yang bersifat kepimpinan.
Keseluruhan program ini berlansung dengan lancar dan tersusun serta memberi impak positif kepada semua peserta dan pihak yang terlibat secara langsung atau tidak lansung.
Diharapkan dengan anjuran program pada kali ini, menjadi dorongan dan pemangkin semangat terutamanya kepada barisan kepimpinan dan aktivis PERGEO untuk melatih diri dalam memperkembangankan lagi kemahiran kepimpinan dan insaniah dalam diri mereka.
