Oleh: Nur Fatin Najwa M. Nur Efendi
Tanjong Malim, 09 April 2025- Persatuan Bimbingan dan Kaunseling (KASIH) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Persatuan Sokongan Kanser Kanak-kanak (CAKNE) dan Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak UKM telah mengadakan program kesukarelawanan bersama pesakit wad kanser iaitu Circle of Hope: Survive and Fight yang bertempat di Hospital Pakar Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (HPKKUKM). Program ini bertujuan bagi memberi kesedaran kepada peserta tentang bagaimana menguruskan diri dari segi fizikal, mental dan emosi secara keseluruhan sebagai pejuang kanser. Hal ini bagi memberi motivasi dan inspirasi kepada mahasiswa betapa pentingnya daya tahan diri dalam menghadapi pelbagai cabaran hidup. Program ini melibatkan seramai 19 orang ahli jawatankuasa dan diiringi oleh penasihat persatuan KASIH, Dr. Pau Kee.
Program ini bertujuan bagi memberi sokongan holistik kepada pesakit kanser kanak-kanak dan penjaga tanpa mengira bangsa, agama atau kepercayaan di samping memberikan sumbangan kepada pihak yang berkeperluan kepada pesakit kanser kanak-kanak Program ini dijalankan bagi melahirkan lebih ramai mahasiswa yang sedia menyumbang ke dalam pembangunan masyarakat dengan menyemai sikap kesukarelawanan di mana sikap ini amat penting bagi mahasiswa. Program ini penting bagi mengurangkan rasa bosan dan memberi rasa keseronokan kepada pesakit walaupun mereka sedang menjalani rawatan yang berat. Program ini bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran sosial dan komunikasi dengan orang lain, malah meningkatkan keyakinan diri mereka untuk bersosial dengan masyarakat yang sentiasa menyokong kehidupan mereka.
Mohd Nizam Hashim menyatakan,
“Circle of Hope bukan sekadar sebuah program biasa, tetapi ia adalah satu inisiatif yang membawa harapan, ilmu, dan sokongan kepada mereka yang memerlukan. Seiring dengan misi dan visi yang digariskan dalam program ini, Circle of Hope bertujuan untuk mewujudkan platform yang kukuh dalam menyediakan intervensi berkesan, membangunkan kesedaran sosial serta mengukuhkan jaringan sokongan bagi golongan yang memerlukan.”.
“Program ini adalah untuk memberikan bimbingan, ilmu pengetahuan serta motivasi kepada peserta melalui pelbagai pendekatan yang berteraskan empati dan sokongan berterusan. Selaras dengan itu, visi jangka panjang Circle of Hope adalah untuk menjadi pemangkin kepada lebih banyak usaha murni yang dapat memberi impak positif kepada masyarakat,” tambahnya lagi.
“Diharapkan kita dapat mencipta gelombang perubahan yang berterusan ini dan memberi inspirasi kepada lebih ramai individu serta organisasi untuk bersama-sama membawa sinar harapan kepada mereka yang memerlukan,” tambahnya lagi.

Penasihat Persatuan Bimbingan dan Kaunseling (KASIH), Dr. Pau Kee dalam ucapannya menyatakan, “Saya rasa sangat penting sebagai bakal kaunselor bukan sahaja kami belajar secara teori, tetapi pengalaman di setting sebenar itu lagi penting. Bagi perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling, kita bukan sahaja menawarkan kepada orang dewasa dan remaja, tetapi termasuk juga populasi kanak-kanak,” katanya.
“Saya rasa ini adalah peluang yang sangat baik untuk pelajar terutamanya untuk meneroka dan memahami apa sebenarnya yang dialami oleh kanak-kanak tersebut atau kanak-kanak yang sedang berjuang dengan situasi mereka. Fokus kita pada hari ini adalah dunia kanak-kanak,”tambahnya lagi.


Antara aktiviti yang dilaksanakan semasa program ini berlangsung termasuklah aktiviti bersama pesakit dari beberapa wad. Antara wad pesakit yang terlibat ialah Wad Onkologi, Wad Kanser, dan Wad Pediatrik di mana pesakit yang terlibat pada hari kejadian dianggarkan antara 15 hingga 20 orang. Aktiviti bersama pesakit dijalankan dari bilik ke bilik dengan keberadaan dua orang ahli jawatankuasa program dalam satu (1) bilik. Pihak KASIH juga turut menyediakan beberapa maskot antaranya ialah maskot Tom & Jerry dan Minion sebagai selingan aktiviti yang memeriahkan suasana.
Antara aktiviti bersama pesakit ialah mewarna, membuat manik gelang, melukis dan beberapa permainan dalaman. Setiap bilik diperuntukkan aktiviti selama 15 hingga 20 minit dan program ini diakhiri dengan slot lawatan sekitar Hospital Pakar Kanak-kanak (HPKK) yang diketuai oleh beberapa pegawai hospital. Antara tempat yang dilawat sekaligus menjadi tumpuan utama ialah sekolah dalam hospital di mana HPKK menyediakan sekolah rendah dengan empat mata Pelajaran utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
Majlis Perasmian Program dihadiri oleh Dr. Yang Wai Wai, Ketua Pusat Perkembangan Kanak-kanak Hospital Pakar Kanak-kanak UKM, Mohd Nizam Hashim, Ketua Unit Acara Protokol & Media HPKKUKM, Hajah Mazni Dato’ Hj. Mohamed, Health Play Therapist, Azian Md. Nor, Pengurus Perhubungan Luar Persatuan Sokongan Kanak-kanak Kanser (CAKNE), Dr. Pau Kee, Penasihat Persatuan Bimbingan dan Kaunseling UPSI serta barisan kakitangan hospital.
