TANJONG MALIM, 24 April 2025 – Suasana meriah dan penuh kemesraan menyelubungi Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) apabila lebih 300 alumni, warga universiti dan komuniti setempat berhimpun dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Anak Kandung Suluh Budiman 2025 anjuran Pusat Alumni UPSI.

Majlis yang bermula pada jam 10.30 pagi itu diserikan dengan kehadiran Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff serta Timbalan Naib Canselor, Prof. Dr. Norkhalid Salimin, yang turut meluangkan masa beramah mesra bersama alumni dan tetamu jemputan.

Program bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara alumni dan universiti, memupuk semangat kekeluargaan serta memperkenalkan peranan Pusat Alumni kepada komuniti kampus. Pelbagai pengisian menarik disediakan termasuk jamuan Aidilfitri, persembahan santai, ruangan cenderahati dan cabutan bertuah.

Antara detik paling mencuri perhatian ialah pertemuan semula rakan-rakan alumni yang tidak bersua sejak tamat pengajian. Suasana penuh emosi dan nostalgia dapat dilihat melalui gelak tawa serta pelukan mesra yang terjalin antara mereka.

Penganjuran program ini turut memberi impak positif dalam mengukuhkan hubungan strategik antara alumni dan universiti, di samping membuka ruang untuk kolaborasi pada masa hadapan. Ia juga membuktikan sokongan berterusan alumni terhadap usaha pembangunan institusi dari pelbagai aspek.

Menurut kenyataan Pusat Alumni, program seumpama ini akan diteruskan sebagai acara tahunan yang dapat mengumpulkan seluruh warga Anak Kandung Suluh Budiman dalam suasana harmoni dan penuh kenangan.