Oleh: Nor Wahida Moh Yusof
Tanjong Malim, 22 April 2025 – Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid Blok kediaman 1 dan 3 mengadakan sesi mesra Pengetua dan felo bersama penghuni yang bertujuan untuk memberi taklimat berkaitan peraturan penghuni di kolej. Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh pengacara majlis. Majlis diteruskan dengan ucapan daripada Pengetua Kolej KHAR iaitu Dr. Che Anuar Che Abdullah dan seterusnya pengenalan Felo Blok Kediaman 1, Hazman Ya’akob dan tidak dilupakan Felo Blok Kediaman 3 iaitu Norulkamari dan Ahli Jawatankuasa Blok Kediaman 1 dan 3. Pengenalan terhadap organisasi adalah sangan penting bagi memudahkan urusan penghuni sewaktu tinggal di kolej. Program ini berlangsung di Dewan Kolej Harun Aminurashid.

Setiap Ahli Jawatankuasa Blok memperkenalkan diri dan bidang tugas masing-masing. Pengetua dan Felo menasihati penghuni-penghuni dari aspek disiplin, adab dan tingkah laku penghuni semasa keberadaan di Kolej. Program ini bertujuan untuk mewujudkan hubungan mesra dan saling menghormati antara Pengetua, Pentadbiran kolej, felo-felo dan penghuni. Tambahan penerangan berkaitan peraturan kolej, etika dan garis panduan tinggal di kolej kediaman juga diterapkan semasa taklimat tersebut. Program ini turut memberi peluang kepada penghuni untuk bertanya soalan dan menyuarakan sebarang pertanyaan atau kebimbangan berkaitan kehidupan di kolej.

Bagi memeriahkan lagi suasana, majlis diteruskan dengan persembahan daripada penghuni dan aktiviti cabutan bertuah diadakan. Kegembiraan terukir di wajah penghuni yang bertuah, ini kerana terdapat pelbagai hadiah menarik telah disediakan. Kemerduan suara penghuni yang membuat persembahan telah memukau perhatian para penonton. Selingan seperti ini dapat menarik minat para penghuni agar kekal berada di dewan sehinggan tamat program.

Program ini juga dihadiri oleh kaunselor pelatih iaitu Farah Syafiqah dan Nur Ariefa Wafiyah Mohd Faizal. Tujuan mereka adalah untuk mempromosikan diri serta mahu membantu pelajar-pelajar yang mempunyai masalah tekanan dan mental. Beliau memaklumkan bahawa mereka akan cuba memberi cadangan untuk klien meraka menyelesaikan sesuatu masalah. Beliau juga memaklumkan sesi kaunseling merupakan perkara yang penting bagi pelajar universiti yang sering terdedah dengan tekanan dalam pembelajaran mahupun perseketiran.

Secara keseluruhannya, Sesi Mesra Pengetua dan Felo Bersama Penghuni Blok Kediaman 1 & 3 bukan sahaja berjaya mencetuskan suasana mesra dan harmoni antara penghuni dan barisan kepimpinan kolej, malah turut menjadi platform terbaik untuk membina jaringan komunikasi yang lebih erat dalam kalangan warga KHAR. Penglibatan aktif para penghuni serta kerjasama erat antara AJK pelaksana menunjukkan komitmen tinggi dalam menjayakan program ini.


Majlis ini diharapkan menjadi titik tolak kepada pembentukan komuniti kolej yang lebih inklusif, dinamik dan berdaya saing. Semangat kekitaan dan keseronokan yang terpancar sepanjang program pastinya akan menjadi kenangan manis buat semua yang terlibat. Dengan adanya program seperti ini, budaya harmoni, saling menghormati dan semangat kerjasama dapat terus disemarakkan dalam kalangan mahasiswa, sejajar dengan aspirasi membentuk siswa madani yang cemerlang dari segi akademik dan sahsiah.
