Oleh: Juraidah Suridi

Tanjong Malim, 23 April 2025– Persatuan Mahasiswa Sejarah (PERMAS), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung di Dewan Banquet, Tingkat 5, E-Learning, UPSI KSAJS. Sambutan ini melibatkan seramai 305 mahasiswa Sejarah (PERMAS) dan turut disertai oleh pensyarah dan staf Jabatan Sejarah.

Sambutan Hari Raya Aidilfitri ini merupakan sambutan yang dikelolakan oleh Majlis Tertinggi PERMAS yang bertujuan mewujudkan hubungan silaturahim yang lebih erat sekaligus mendedahkan kepentingan ukhuwah yang utuh melalui pelaksanaan sambutan di samping menerapkan unsur-unsur perpaduan dan kesamarataan dalam kalangan mahasiswa yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama. Selain itu, sambutan ini juga merupakan suatu bentuk “bonding” yang dapat menerapkan unsur kesyukuran setelah berpuasa selama 30 hari pada bulan Ramadan.

Menurut Dr. Yunus Sauman@Sabin, sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri yang dilaksanakan oleh PERMAS dapat mengumpulkan semua mahasiswa Sejarah, pensyarah dan staf Jabatan Sejarah untuk bersama-sama meraikan sambutan ini. Dr. Yunus berkata, walaupun beliau sebenarnya mempunyai banyak komitmen, tetapi beliau tetap berusaha untuk hadir dan menikmati kemeriahan majlis. Selain itu, beliau juga berharap agar sambutan perayaan ini dapat dikekalkan sebagai sambutan tahunan.

Pelaksanaan sambutan ini telah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada kebanyakan mahasiswa yang berpuas hati dengan penganjurannya. Seorang mahasiswa berkata, “Sambutan Raya PERMAS kali ini lebih meriah dengan pelbagai juadah serta persembahan khas daripada Kelab Kombo Muzik PUSKEB UPSI.”

Sambutan Hari Raya Aidilfitri ini telah memberi impak positif kepada mahasiswa PERMAS. Penganjuran sambutan ini berjaya meningkatkan tahap profesionalisme serta pelbagai kemahiran dalam kalangan ahli jawatankuasa yang terlibat. Selain itu, pelaksanaan program ini turut membentuk mahasiswa yang berkebolehan dalam mengurus dan menjayakan sesuatu program. Pihak penganjur berharap agar sambutan perayaan ini dapat dijadikan acara tahunan wajib bagi memperkukuh ukhuwah antara mahasiswa, pensyarah, dan staf Jabatan Sejarah, Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK).