oleh : Dr. Rosli Mahmud

TANJONG MALIM, 6 Jun – Seorang pelajar Semester Enam Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Cik Nor Yuzalia binti Yusli, terlibat dalam satu kemalangan jalan raya pada 2 Mei lalu di persimpangan lampu isyarat berhampiran kampus universiti.

Mangsa dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kenderaan lain, menyebabkan beliau mengalami kecederaan termasuk luka-luka dan gangguan saraf pada bahagian muka akibat kecederaan kepala.

Lebih menyayat hati, Nor Yuzalia merupakan anak yatim piatu selepas kehilangan ibunya beberapa tahun lalu ketika melahirkan adik bongsunya.

Prihatin dengan nasib yang menimpa, Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) UPSI melalui Dana Sedekah UPSI telah meluluskan bantuan kewangan sebanyak RM500.00, hasil sumbangan warga kerja universiti.

Bantuan tersebut disampaikan oleh Timbalan Pendaftar WEZAS, Dr. Rosli Bin Mahmud, dalam satu lawatan kebajikan ke kediaman pelajar di Kampung Kemuning, Machang, Kelantan.

Sumbangan ini diharap dapat membantu meringankan beban kos rawatan Nor Yuzalia yang terpaksa berulang-alik ke Hospital Kuala Krai yang terletak lebih 20 kilometer dari rumahnya.