Gerik, Perak, 9 Jun 2025 – Tragedi menyayat hati yang berlaku di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat, Gerik pada awal pagi Isnin telah mengorbankan seramai 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan turut mencederakan yang lain.

Insiden yang melibatkan sebuah bas persiaran yang dalam perjalanan pulang dari Jertih, Terengganu menuju ke Tanjung Malim ini mengejutkan seluruh negara dan mendapat perhatian pelbagai pihak.

Sebagai tanda solidariti dan keprihatinan terhadap nasib yang menimpa para pelajar, Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) UPSI telah mengambil langkah proaktif menyalurkan sumbangan kewangan kepada keluarga mangsa tragedi.

Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh wakil Pensyarah Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI, Dr. Muhammad Nadzir bin Ibrahim, kepada waris pelajar Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) yang terlibat dalam insiden berkenaan. Beliau turut menyampaikan ucapan takziah bagi pihak warga WEZAS dan fakulti serta menyatakan komitmen UPSI dalam membantu keluarga yang terkesan.

Dalam pada itu, Dr. Rosli Mahmud, Pegawai Tadbir WEZAS, turut hadir ke lokasi dan turun padang menziarahi keluarga mangsa. Kehadiran beliau bukan sahaja membawa sumbangan, tetapi juga memberikan sokongan moral serta menunjukkan kebersamaan universiti dalam menghadapi detik duka ini.

Menurut Dr. Rosli, “Kami di WEZAS amat bersimpati dengan apa yang berlaku. Sumbangan ini mungkin kecil dari segi nilai, tetapi besar ertinya dalam menyampaikan rasa prihatin dan kasih sesama insan. UPSI tidak akan membiarkan keluarga mangsa berseorangan dalam menghadapi dugaan ini.”

Tragedi ini merupakan peringatan besar terhadap pentingnya aspek keselamatan dalam pengangkutan pelajar dan tanggungjawab bersama dalam memastikan kesejahteraan mahasiswa kita.