Oleh: Fararovila Aji
Tanjong Malim, 17 Mei 2025 – Exco Perhubungan Awam dan Antarabangsa, Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki sidang 2024/2025 telah mengadakan sebuah program Pertandingan Pitching secara terbuka kepada semua mahasiswa/i Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi membuktikan komitmennya dalam melahirkan cendekiawan negara apabila menganjurkan Pertandingan Pitching Bangga UPSI: Dari Sini Lahirnya Cendekiawan yang berlangsung meriah di Pentas Utama, Tapak Pesta Kolej Aminuddin Baki, Kampus Sultan Azlan Shah, hari ini.
Pertandingan yang menghimpunkan mahasiswa dari pelbagai fakulti itu menjadi medan intelektual bagi mencungkil bakat serta kreativiti dalam menyampaikan idea dan solusi terhadap isu-isu semasa melalui pitching profesional.
Program ini turut menjadi landasan dalam membentuk jati diri, nilai kepimpinan dan semangat bangga terhadap identiti UPSI sebagai institusi melahirkan tokoh cendekiawan.


Menurut juri utama program ini, Dr. Norzalina Hj Noor pertandingan ini merupakan platform penting yang bukan sahaja menguji keupayaan komunikasi dan pemikiran aras tinggi mahasiswa, malah menyemai nilai integriti, tanggungjawab sosial dan keusahawanan dalam kalangan pelajar.
“Pertandingan ini adalah bukti bahawa mahasiswa kita bukan sahaja mampu berfikir secara kritis dan kreatif, malah berani mengetengahkan solusi praktikal yang boleh memberi impak kepada masyarakat dan dunia pendidikan,” ujar beliau kepada semua peserta dan penonton yang hadir.
Antara objektif utama program ini termasuk menggalakkan pemikiran kreatif dan inovatif dalam kalangan mahasiswa/i UPSI melalui penyertaan aktif dalam mencipta idea yang memberi impak kepada masyarakat dan pendidikan.
Selain itu, program ini juga bertujuan untuk memperkukuhkan kemahiran berkomunikasi secara profesional, serta menyediakan ruang untuk mencipta penyelesaian terhadap cabaran pendidikan, sosial dan komuniti.
Lebih menarik, pertandingan ini juga menyokong pelbagai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu seperti Pendidikan Berkualiti (SDG 4), Kesaksamaan Gender (SDG 5), Pertumbuhan Ekonomi (SDG 8), serta Industri, Inovasi dan Infrastruktur (SDG 9).


Seramai 3 orang peserta telah mengambil bahagian dengan menampilkan pelbagai idea inovatif termasuk projek berasaskan teknologi, pembangunan komuniti dan penyelesaian pendidikan yang lestari. Pertandingan yang dikendalikan di bawah Kluster Wacana Intelek dan Kluster Pengucapan Awam. Program ini turut dihadiri oleh barisan pentadbiran dan felo Kolej Aminuddin Baki serta juri profesional yang menilai setiap persembahan berdasarkan kreativiti, kebolehpasaran dan impak idea terhadap masyarakat.
Program seumpama ini diharap dapat diteruskan secara berterusan dalam kalangan warga UPSI bagi memupuk budaya inovatif dan menjadikan universiti ini sebagai pusat kecemerlangan intelektual dan pembangunan insan yang holistik. Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya dilaksanakan dengan lancar dan mencapai matlamat yang ditetapkan. Diharapkan kejayaan ini dapat menjadi pemangkin kepada pelaksanaan program-program yang lebih berimpak pada masa akan datang.
