OLEH : ADNAN AIMAN
TAIPING, 2 JUN 2025 – Dalam usaha menerapkan kesedaran terhadap pemeliharaan alam sekitar dan kebajikan haiwan dalam kalangan mahasiswa, seramai 40 orang mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menyertai program Aura Paradise : The Animal Guardians, sebuah program kesukarelawanan bertemakan alam sekitar dan hidupan liar bertempat di Zoo Taiping, Perak.
Program ini dianjurkan oleh Majlis Mahasiswa Kolej Antarabangsa (MMKA) Sidang 2024/2025 dengan sokongan kolaborasi strategik bersama-sama pihak Zoo Taiping dan Kelab Rakan Alam Sekitar (RAS) UPSI.
Objektif utama bagi program ini adalah untuk menyemai nilai tanggungjawab sosial dan menggalakkan penglibatan aktif mahasiswa khususnya pelajar antarabangsa dalam usaha pemeliharaan hidupan liar.



Ahli jawatankuasa (AJK) dan peserta program memulakan perjalanan dari UPSI seawal jam 06.30 pagi. Sesi taklimat ringkas berkenaan tentatif dan Prosedur Operasi Standard (SOP) program turut dilaksanakan oleh AJK semasa dalam perjalanan ke lokasi program.
Ketibaan peserta di Zoo Taiping sekitar jam 10.30 pagi disambut baik oleh pihak zoo yang menyampaikan taklimat ringkas dan penerangan mengenai sejarah penubuhan zoo dan peranannya dalam pemeliharaan spesies haiwan terancam.
Para peserta kemudiannya dibahagikan kepada empat kumpulan kecil. Setiap kumpulan terdiri daripada 10 orang ahli yang dianggotai oleh AJK dan peserta program.
Selepas itu, aktiviti gotong-royong dan pembersihan kawasan sekitar zoo dijalankan bermula jam 11.00 pagi hingga 12.30 tengah hari oleh peserta program.



Justifikasi pelaksanaan aktiviti ini adalah untuk memberikan pendedahan langsung tentang penjagaan persekitaran tempat tinggal haiwan di samping memupuk semangat sukarelawan dan kerjasama berpasukan dalam kalangan AJK dan peserta program.
Peserta kemudiannya diberikan masa untuk berehat dan makan tengah hari selama satu jam setelah aktiviti gotong-royong selesai.
Program diteruskan lagi dengan sesi penyampaian sijil penghargaan kepada rakan kolaborasi program iaitu pihak Zoo Taiping dan Kelab Rakan Alam Sekitar (RAS) sebagai simbolik penghargaan atas sokongan mereka dalam menjayakan program ini. Pihak Zoo Taiping turut menyampaikan sijil penghargaan kepada semua AJK dan peserta yang terlibat sebagai tanda terima kasih atas kesudian memilih Zoo Taiping sebagai rakan kerjasama strategik program.
Seterusnya, peserta diberikan ruang untuk bersiar-siar di kawasan zoo untuk mempelajari ilmu tambahan tentang hidupan liar yang dijaga di Zoo Taiping sebagai nilai tambah kepada mereka. Pada jam 04.30 petang, peserta diarahkan untuk berkumpul semula di pintu utama zoo kemudian bertolak pulang ke UPSI pada jam 05.00 petang. Semua AJK dan peserta program selamat tiba di kampus sekitar jam 10.00 malam.
Liu Siqi, pelajar antarabangsa dari China, menyatakan, ‘’Sebagai pelajar antarabangsa, pengalaman ini sangat bermakna bagi saya.


“Program ini membuka mata saya terhadap usaha pemeliharaan haiwan di Malaysia dan peranan aktif mahasiswa dalam menyokong usaha ini.
“Program ini bukan sahaja memberikan saya peluang untuk menyumbang, tetapi juga untuk lebih memahami budaya prihatin rakyat Malaysia terhadap alam sekitar.”
Pengarah Program, Nursyazwani Nadhirah, menyifatkan program ini sebagai satu program yang lebih daripada sekadar lawatan sambil belajar kepada pelajar antarabangsa.
“Aura Paradise : The Animal Guardians bukan sekadar program lawatan biasa. Program ini merupakan simbol usaha kami dalam melaksanakan tanggungjawab untuk menjaga haiwan liar lebih-lebih lagi spesies yang terancam.
“Melalui program ini, kami ingin menyemai kesedaran bahawa mahasiswa kini hendaklah menjalankan peranan mereka dalam memastikan kesejahteraan alam sekitar dan haiwan sentiasa terpelihara.
“Saya percaya bahawa inisiatif seperti ini akan menjadi pemangkin kepada generasi mahasiswa yang cakna dan berani bertindak untuk mendidik masyarakat melalui teladan.”, katanya.
Felo Kolej Antarabangsa, Encik Mohd Saiful Aizam menyatakan bahawa program ini merupakan antara contoh strategi terbaik pembelajaran berasaskan pengalaman.
“Program ini menggabungkan nilai tanggungjawab sosial, komunikasi dan kerja berpasukan. Hal ini selari dengan aspirasi UPSI dalam membentuk mahasiswa holistik dalam pelbagai aspek.”, jelas beliau.
Pengetua Kolej Antarabangsa, Encik Zamrus Hashim menzahirkan pujian beliau terhadap inisiatif pelaksanaan program ini.


“Saya berbangga melihat mahasiswa kita khususnya pelajar antarabangsa turun padang dan memberikan sumbangan secara langsung kepada usaha pemeliharaan haiwan. Inisiatif ini wajar diteruskan dan diperluaskan lagi pelaksanaannya pada masa akan datang.”, ucap beliau.
Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan pelaksanaan program ini. Semoga program ini dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif lestari yang digerakkan oleh mahasiswa bagi menjamin manfaat kepada penjagaan ekosistem negara.

