Tanjong Malim, 16 Jun 2025 – Pendidikan tahfiz kini melangkah ke dimensi baharu apabila Majlis Mahasiswa Kediaman Luar Kampus (MMKLK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya menganjurkan program Technobot Competition: Revolusi dan Kreatif, yang merupakan sebuah pertandingan robotik dengan teknologi Revolusi Industri 4.0 dimana ia membuktikan pelajar-pelajar tahfiz berjaya menguasai ilmu robotik dan teknologi digital dalam satu pertandingan yang luar biasa.
Bertempat di Dewan Kolej Ungku Omar UPSI, pertandingan ini menghimpunkan 32 peserta daripada empat institusi tahfiz dan sebuah Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) di sekitar Tanjong Malim.
Program ini menjadi pentas penting kepada para pelajar tahfiz untuk meneroka dunia robotik, pengaturcaraan (coding) dan kecerdasan buatan, selari dengan arus pendidikan STEM masa kini.
“Kami mahu buktikan bahawa pelajar tahfiz juga mampu menguasai teknologi dan bersaing dalam dunia inovasi. Inilah generasi Huffaz Tech yang kita lahirkan,” tegas Puan Norhayati binti Aziz, selaku penasihat program.


Acara bermula seawal jam 9 pagi dengan sesi bengkel dikendalikan oleh Encik Mokanraj, guru berpengalaman dari Sungai Siput.
Peserta diajar asas pengaturcaraan sebelum mengawal robot ciptaan mereka sendiri, menggunakan telefon pintar yang disediakan oleh pihak penganjur.
Acara kemuncak pada sebelah petang menyaksikan dua pertandingan menarik iaitu perlumbaan kelajuan robot dan ujian kawalan robot secara maya, yang mencabar kemahiran teknikal serta kreativiti para peserta.
“Ini bukan sekadar pertandingan robot. Ini adalah kebangkitan generasi tahfiz moden – beriman, berilmu dan berinovasi,” ujar Pengarah Program Nur Fifi Adzmi yang menjadi tulang belakang kejayaan acara ini.


Sambutan hangat serta penglibatan aktif peserta membuktikan bahawa inisiatif ini bukan sahaja menyemai minat terhadap teknologi dalam kalangan pelajar tahfiz, malah membuka jalan untuk mereka meneroka kerjaya masa depan yang berteraskan inovasi digital.
Dengan penganjuran Technobot Competition, Majlis Mahasiswa Kediaman Luar Kampus (MMKLK) terus memperkukuh peranan dalam membawa pendidikan tahfiz ke persada global, sekaligus menyemarakkan sinergi antara akal dan wahyu dalam dunia teknologi masa kini.
