Oleh: Ahmad Daniel Syah Ahmad Effendi
Tanjong Malim, 18 Mei 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi International, Mobility and Advanced Education Centre (IMAC) terus memperkukuh aspirasi pengantarabangsaan dengan menerima kunjungan istimewa 16 orang pelajar dari Alfraganus University, Uzbekistan dalam satu program mobiliti inbound antarabangsa yang berlangsung dari 12 hingga 17 Mei 2025.
Program selama enam hari ini bertujuan memperkenalkan pelajar antarabangsa kepada sistem pendidikan tinggi Malaysia, di samping mengetengahkan keunikan budaya, warisan serta nilai-nilai murni masyarakat tempatan.
Inisiatif ini juga selari dengan matlamat UPSI untuk melahirkan warga yang berpaksikan jati diri kebangsaan.


Sepanjang berada di UPSI, para pelajar dari Uzbekistan telah disajikan dengan pelbagai pengisian ilmiah dan budaya yang sarat dengan nilai pendidikan.
Antara pengisian menarik termasuk lawatan ke Perpustakaan Tuanku Bainun dan Muzium Pendidikan Nasional yang membekalkan mereka dengan pemahaman mendalam mengenai evolusi pendidikan negara serta peranan signifikan UPSI sebagai institusi pendidikan tertua di Malaysia.


Salah satu detik kemuncak program ialah aktiviti memasak bersama warga IMAC di Food Republic, FTV. Dalam sesi tersebut, pelajar Uzbekistan bukan sahaja mempersembahkan kepakaran kulinari mereka dengan menyediakan hidangan tradisional negara mereka, Pavlov Rice, malah turut beramah mesra dengan staf IMAC dan pelajar tempatan dalam suasana santai dan penuh keakraban.
Aktiviti ini jelas mencerminkan semangat diplomasi budaya yang mewarnai hubungan dua hala antara kedua-dua institusi.


Program turut diserikan dengan lawatan sehari ke Melaka yang dianjurkan oleh Kelab UPSI Global Buddies (UGB) dengan kerjasama IMAC.
Sepanjang lawatan, para pelajar diberi peluang menerokai tapak-tapak warisan seperti Kota A’Famosa, Stadthuys dan Jonker Walk yang kaya dengan nilai sejarah dan budaya.
Pendedahan ini membuka dimensi baharu kepada para pelawat dalam memahami kepelbagaian warisan yang membentuk identiti Malaysia.


Menurut Pengarah IMAC, Profesor Dr. Ramlee Ismail, UPSI sentiasa komited dalam mengangkat nilai pengantarabangsaan menerusi pendekatan pendidikan yang inklusif dan holistik.
“Kami percaya bahawa interaksi bersemuka dan penglibatan langsung dalam program mobiliti seperti ini dapat menyuburkan semangat muhibah serta memperkukuh jaringan kerjasama rentas sempadan. Ia juga menjadi wahana terbaik untuk melahirkan pelajar berfikiran kreatif dan berdaya saing,” ujar beliau.


Delegasi Alfraganus University turut melahirkan rasa terharu atas sambutan yang mesra serta pengisian program yang begitu padat dan bermakna. Ramai dalam kalangan mereka menyifatkan pengalaman ini sebagai satu kenangan manis yang sukar dilupakan, malah berharap agar hubungan antara kedua-dua institusi dapat terus diperkasa menerusi pelbagai bentuk kolaborasi akademik dan budaya pada masa akan datang.
Secara keseluruhannya, program mobiliti inbound ini bukan sahaja berjaya mencapai matlamat perkongsian ilmu dan pertukaran budaya, bahkan turut menyemarakkan semangat perpaduan, persefahaman dan persahabatan sejagat.
Tuntasnya, inisiatif ini mengukuhkan peranan UPSI sebagai peneraju dalam memacu kecemerlangan pendidikan bertaraf antarabangsa.
