oleh: Husna Mohd Noor
Tanjong Malim, 17 April 2026 — International, Mobility and Advanced Education Centre (IMAC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya mengkoordinasikan satu lawatan delegasi antarabangsa yang melibatkan wakil daripada Procter & Gamble (P&G) Amerika Syarikat dan Singapura serta World Wide Fund for Nature (WWF) Amerika Syarikat dan Malaysia ke kampus UPSI.
Lawatan ini turut menyaksikan Majlis Perasmian Sustainable Smart Technology Research Workspace Lab, hasil kerjasama strategik antara UPSI, P&G dan WWF Malaysia.
Makmal tersebut ditempatkan di Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi dengan sokongan Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV) serta Pusat ICT UPSI.
Perasmian makmal ini merupakan satu inisiatif penting dalam memperkukuhkan jaringan kolaborasi antarabangsa UPSI, khususnya dalam bidang teknologi pintar dan kelestarian.
Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen universiti dalam memacu inovasi berimpak tinggi melalui kerjasama erat bersama rakan strategik global.
Sepanjang lawatan, delegasi telah dibawa melawat beberapa kemudahan utama di UPSI termasuk Pusat ICT, Galeri Seni Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK), Makmal Robotik serta Makmal Bioakustik.
Lawatan ini memberi peluang kepada delegasi untuk melihat sendiri keupayaan penyelidikan serta fasiliti yang dimiliki oleh UPSI dalam menyokong agenda teknologi dan kelestarian.



Selain itu, seramai sembilan orang delegasi daripada Procter & Gamble (P&G) dan World Wide Fund for Nature (WWF) turut menginap di Scholar’s Suite (SS) UPSI dan telah disambut dengan layanan hospitaliti universiti.
Mereka turut diraikan melalui persembahan kebudayaan oleh Pusat Kebudayaan (PUSKEB) UPSI serta jamuan makan malam yang diselaraskan bersama Bahagian Komunikasi Korporat (BKK).
Usaha IMAC dalam mengkoordinasikan lawatan ini dilihat sebagai langkah proaktif dalam memperkukuhkan hubungan strategik antara UPSI dan organisasi antarabangsa.
Inisiatif ini sekali gus memperkukuh kedudukan UPSI sebagai rakan kolaborasi utama di peringkat global dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan inovasi.

