Oleh: Ahmad Daniel Syah Ahmad Effendi
Tanjong Malim, 21 Mei 2025 – Program Rabu Qalbu: Global Strike “Bowling with International Students” telah berlangsung dengan meriah di UPSI Sports Bowl, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), menghimpunkan pelajar antarabangsa dalam suasana santai yang sarat dengan semangat kesukanan. Program ini merupakan inisiatif Kelab UPSI Global Buddies dengan kerjasama International, Mobility and Advanced Education Centre (IMAC).
Melibatkan penyertaan lebih 20 orang pelajar antarabangsa dari China, Bangladesh dan Indonesia, program ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan antara pelajar daripada pelbagai latar belakang di samping menggalakkan interaksi positif sesama mereka. Usaha ini turut menyokong aspirasi UPSI dalam mewujudkan persekitaran kampus yang inklusif dan mesra pelajar antarabangsa.


Aktiviti dimulakan dengan sesi suai kenal dan pembahagian kumpulan secara rawak yang membuka ruang kepada para peserta untuk berinteraksi dalam suasana mesra dan santai. Sepanjang permainan, suasana di UPSI Sports Bowl dipenuhi dengan sorakan dan gelak ketawa, mencerminkan semangat kesukanan dan kerjasama dalam kalangan peserta. Setiap pelajar berpeluang menyerlahkan bakat serta mengukuhkan semangat berpasukan dalam suasana yang menyeronokkan.
Menurut Pengarah Program, saudari Ashrani Husna binti Ahmad Asraf, penganjuran Rabu Qalbu: Global Strike ini bertujuan untuk menyediakan ruang rekreasi santai kepada pelajar antarabangsa, sekali gus mengukuhkan hubungan yang positif serta mengetengahkan potensi mereka dalam bidang di luar akademik. Beliau turut menegaskan bahawa sukan mampu menjadi medium yang berkesan dalam membentuk nilai perpaduan dalam kalangan pelajar antarabangsa di UPSI.



Salah seorang peserta dari Bangladesh, Abdul Bakir, menyifatkan penyertaannya dalam program ini sebagai satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan menyeronokkan kerana dapat membantunya menyesuaikan diri dengan persekitaran UPSI serta berasa lebih dekat dengan komuniti tempatan UPSI.
Tuntasnya, penganjuran Rabu Qalbu: Global Strike ini mencerminkan komitmen berterusan UPSI, melalui IMAC dan UGB, dalam menyediakan pengalaman pembelajaran yang menyeluruh kepada pelajar antarabangsa, bukan sahaja dari sudut akademik, malah merangkumi aspek sosial dan kesukanan. Inisiatif seperti ini sejajar dengan hasrat UPSI untuk terus unggul sebagai institusi pendidikan bertaraf antarabangsa yang meraikan kepelbagaian budaya serta memperkukuh perpaduan merentas sempadan.
