Oleh: Dr Faudzi Umar, Dr. Nurul Syafiqah Yap Abdullah, Puan Mazlina Darus, Ts. Dr. Afiq Radzwan dan Chin Khai Xian

IPOH, 25 Jun – Seramai 213 orang pelajar Tingkatan 5 calon cemerlang daripada 47 buah sekolah menengah Daerah Kinta Utara telah menyertai Program Physics Academic Team High Score Achiever (PATHSA) yang berlangsung selama dua hari, bermula 24 hingga 25 Jun 2025 di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh.

Program ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Jabatan Fizik, Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Utara dan pihak pengurusan Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh, yang bertujuan memperkasakan persediaan pelajar menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam mata pelajaran Fizik.

Sebanyak 45 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Fizik) dengan Kepujian (AT12) UPSI telah dilantik sebagai fasilitator program, mereka dibahagikan kepada lima kumpulan bagi mengendalikan lima stesen aktiviti utama dan dibantu oleh Pn. Wan Norliza Abdul Raoff, Guru Fizik STAR serta Jurulatih Utama Fizik sekitar daerah Kinta Utara.

Kesemua fasilitator ini diketuai oleh pelajar AT12, Chin Khai Xian, yang turut memainkan peranan penting sebagai penyelaras dalam pelaksanaan aktiviti dan pengurusan kumpulan fasilitator sepanjang program berlangsung.

Program dimulakan pada malam 24 Jun dengan pelaksanaan sesi HYPE UP UPSI x STAR, sebuah program motivasi yang melibatkan fasilitator UPSI dan pelajar Tingkatan 5 STAR.

Sesi ini diketuai oleh Chin Khai Xian dan bertujuan membina semangat, meningkatkan keyakinan diri serta mewujudkan keserasian awal antara pelajar dan fasilitator.

Majlis turut diserikan dengan ucapan alu-aluan daripada En. Zaherien Rahmat,Timbalan PPD Sektor Pembelajaran, PPD Kinta Utara, dan turut bersama Mohd Nazri Bin Abdul Hamid SISC+ Sains & Matematik, PPD Kinta Utara.

Acara kemuncak PATHSA berlangsung pada 25 Jun, melibatkan aktiviti pembelajaran berasaskan stesen yang berfokus kepada lima topik utama dalam Fizik Tingkatan 5.

Setiap kumpulan pelajar menjalani aktiviti eksperimen amali, penerokaan konsep dan latihan penyelesaian masalah secara bergilir.

Aktiviti ini merangkumi topik-topik penting seperti daya dan gerakan, tenaga dan kuasa, gelombang dan getaran, elektrik dan magnet serta radioaktiviti.

Pendekatan hands-on yang digunakan dalam program ini berperanan penting dalam membantu pelajar memahami konsep secara lebih mendalam dan praktikal, selaras dengan format dan kehendak peperiksaan SPM.

Modul, bahan amali serta logistik program telah diselaraskan oleh Dr. Nurul Syafiqah Yap Abdullah dan Puan Mazlina Darus dari Jabatan Fizik FSM UPSI.

Pensyarah pengiring bagi program ini ialah Ts. Dr. Afiq Radzwan dan Dr. Mohd Faudzi Umar, Ketua Jabatan Fizik FSM UPSI.

Majlis penutup diadakan pada jam 12.15 tengah hari dengan penyampaian hadiah serta sesi bergambar bersama peserta dan fasilitator. Program tamat secara rasmi pada jam 1.30 petang.

Program PATHSA ini sangat dialu-alukan oleh Pengetua STAR, Encik Mohd. Saharuddin bin Sadali, ketika dihubungi, dan beliau sangat teruja dengan aktiviti yang dijalankan.

DIsamping itu, program ini turut menyokong aspirasi BITARA UPSI 2.0, yang diperkenalkan oleh Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff, dalam usaha memperkukuh kebitaraan akademik melalui penglibatan komuniti, pemindahan ilmu dan jaringan kerjasama antara universiti dan sekolah.

Dengan pelaksanaan program seperti ini, UPSI terus memperkukuh peranannya dalam memartabatkan pendidikan STEM serta menyumbang kepada pembangunan kapasiti dan kecemerlangan pelajar sekolah menengah di Malaysia.