Oleh: Dr. Ijlal binti Mohd Diah, Dr. Adib b. Mashuri, Muhammad Shahrul bin Danuri.
TANJUNG MALIM, 11 Oktober 2026 – Bertemakan keseronokan, persahabatan dan pembelajaran matematik secara santai, program DoMaths Day: MathPlay Carnival telah berlangsung di Bilik Kuliah B04-0-BK05 dan B04-0-BK06, Blok 4, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Kampus Sultan Azlan Shah. Program ini dianjurkan oleh Jabatan Matematik, UPSI dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Matematik UPSI (PMMU) bagi menggalakkan penglibatan aktif mahasiswa dan pensyarah dalam aktiviti rekreasi yang menggabungkan elemen kecergasan fizikal, kerjasama berpasukan dan interaksi sosial.
Program ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga Jabatan Matematik, khususnya antara pensyarah dengan mahasiswa, di samping memupuk semangat kerjasama, meningkatkan kemahiran komunikasi dan menggalakkan amalan gaya hidup sihat. Melalui aktiviti yang menyeronokkan, program ini menyediakan ruang kepada pensyarah dan mahasiswa untuk berinteraksi dalam suasana yang lebih santai dan mesra, sekali gus merapatkan hubungan di luar persekitaran akademik formal.
Penganjuran program ini turut memperlihatkan sinergi antara pensyarah dengan mahasiswa dalam merancang, menyelaras dan menjayakan aktiviti yang disediakan. Jawatankuasa pelajar diketuai oleh Muhammad Shahrul bin Danuri selaku Pengarah Program, dengan sokongan dan kerjasama pihak Jabatan Matematik bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program. Kerjasama ini mencerminkan semangat kebersamaan serta hubungan harmoni antara warga akademik dengan mahasiswa dalam mewujudkan persekitaran universiti yang positif dan inklusif.
Sebanyak lima permainan telah dipertandingkan sepanjang program iaitu Tarik Tali, Bola Beracun, Kain Pelikat Tiup Belon, Straw dan Getah serta Boling Kelapa. Setiap permainan menampilkan cabaran tersendiri yang memerlukan kerjasama, strategi, ketangkasan dan semangat kesukanan dalam kalangan peserta. Penglibatan pensyarah bersama mahasiswa dalam aktiviti rekreasi ini turut membuka peluang untuk membina persefahaman, memupuk semangat kesukanan dan mewujudkan interaksi yang lebih dekat dalam suasana penuh ceria. Selain memberikan hiburan, aktiviti tersebut turut menyemai nilai toleransi, keyakinan diri dan persaingan yang sihat.



Majlis penutupan dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Sains dan Matematik, Dr. Mohd Ikhwan Hadi Yaacob. Beliau berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penglibatan yang lebih meluas dalam kalangan mahasiswa dan pensyarah. Usaha ini diharapkan dapat menyumbang kepada pembentukan kehidupan kampus yang lebih seimbang, sihat dan harmoni.
Secara keseluruhannya, penganjuran DoMaths Day: MathPlay Carnival diharapkan dapat menjadi platform untuk untuk memperkukuh hubungan antara pensyarah dengan mahasiswa, memupuk semangat berpasukan dan menggalakkan gaya hidup aktif serta sihat eumpama ini wajar diteruskan sebagai inisiatif Jabatan Matematik untuk membina komuniti akademik yang lebih akrab, harmoni dan saling menyokong, sekali gus menyumbang kepada pengalaman kehidupan kampus yang lebih bermakna.
