Oleh: Muhammad Fareed Ezani

Tanjong Malim, 30 Julai 2025 – Kejayaan program META-SLICE 1, hasil kolaborasi antara Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (META), UPSI dan program Service Learning in Software Engineering for Innovation and Community Engagement (SLICE), telah membuka lembaran baharu kerjasama strategik merentasi institusi dan negara. Inisiatif ini kini diteruskan melalui META-SLICE 2, sebuah usaha berimpak tinggi yang menghimpunkan kepakaran META-UPSI, Fakultas Teknologi Informasi Universitas Teknologi Digital Indonesia (UTDI), dan Jabatan Teknologi Maklumat & Komunikasi Politeknik Balik Pulau (PBU).

META-SLICE bukan sahaja menyambung legasi kerjasama terdahulu, malah memperkukuh komitmen bersama dalam memacu inovasi digital dan memperluas horizon pendidikan berasaskan teknologi.

Dilaksanakan secara dalam talian pada 13 hingga 16 Januari 2025, META-SLICE 1 terdiri daripada dua siri bengkel intensif: META-UTDI dan META-PBU. Kedua-duanya menumpukan kepada advokasi penyelesaian masalah menggunakan perisian JIRA sebagai alat pengurusan projek yang sistematik. Pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian (Perisian Pendidikan), META-UPSI bertindak sebagai jawatankuasa pelaksana dan fasilitator, manakala pelajar UTDI dan PBU menjadi peserta. Siri META-UTDI melibatkan 21 peserta dengan enam kumpulan pengajar, manakala META-PBU menyaksikan penyertaan 19 peserta dengan struktur yang sama.

Sesi Bengkel secara atas talian antara salah satu Kumpulan Pengajar (Pelajar META, UPSI) dan Peserta (Pelajar Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, PBU)

Bengkel merangkumi sesi pengenalan bersama penasihat institusi, diikuti pembinaan penyataan masalah sebagai kajian kes penggunaan JIRA. Sesi kedua memperkenalkan JIRA secara langkah demi langkah berdasarkan senario peserta. Pengisian turut diperkaya dengan sesi perkongsian isu semasa berkaitan Kecerdasan Buatan oleh Dr. Bambang Purnomosidi, Dekan FTI UTDI. Program ini turut mendapat sokongan dana SULAM dan Pusat Pembangunan Akademik (PPA), UPSI.

Sesi Bengkel secara atas talian antara salah satu Kumpulan Pengajar (Pelajar META, UPSI) dan peserta (Pelajar Fakultas Teknologi Informasi, UTDI)

Inisiatif ini digerakkan oleh Prof. Madya Dr. Suliana Sulaiman, Ketua Jabatan Kejuruteraan Perisian & Teknologi Pintar UPSI, selaku Ketua Penasihat Program, dengan sokongan dua Penasihat Bersama: Dr. Sri Redjeki S. Si, Rektor UTDI dan TS. Wan Nur Wahidah Hashim, Pensyarah Kanan, PBU.

Menerusi META-SLICE 2, fokus diperluas kepada pembelajaran berasaskan projek secara kolaboratif yang melibatkan ketiga-tiga institusi secara bersama. Pelajar akan membangunkan penyelesaian berdasarkan kajian kes sebenar dari setiap institusi, sekali gus mengasah kemahiran komunikasi, kepimpinan, serta jaringan profesional di peringkat global.

Secara keseluruhan, META-SLICE menyokong aspirasi UPSI untuk memperluas kerjasama lokal-global, memperkukuh pendidikan digital serantau dan melahirkan graduan berdaya saing global. Dengan semangat kolaboratif dan visi bersama, META-SLICE 2 diyakini menjadi model kerjasama rentas sempadan yang mampan serta memberi impak jangka panjang kepada ekosistem pendidikan digital Malaysia dan Indonesia.