UPSI, 9 Julai 2025 – Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (META), Universiti Pendidikan Sultan Idris telah menganjurkan Slot Bersama Fakulti bertempat di Dewan Kuliah F, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah sempena ketibaan pelajar baharu Diploma ambilan Julai 2025 yang telah mendaftar pada Isnin, 6 Julai 2025. Program ini melibatkan seramai 79 pelajar baharu, dengan dibantu oleh fasilitator, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), serta staf akademik dan pentadbiran FKMT.

Majlis dimulakan seawal jam 8.30 pagi dengan pendaftaran pelajar, diikuti ketibaan para pensyarah. Sesi pengenalan bermula dengan ucapan aluan, bacaan doa, nyanyian lagu rasmi serta sesi fotografi rasmi. Seterusnya, pengisian istimewa Rabu Qalbu META membuka ruang interaksi awal antara pelajar dan pensyarah melalui aktiviti ramah mesra yang santai namun sarat dengan nilai murni.
Sesi taklimat yang menyusul menampilkan Penasihat Akademik serta Penyelaras Program Diploma bagi dua program iaitu Diploma Sains Komputer (Komputeran Internet) dan Diploma Reka Bentuk dan Pembangunan Permainan. Turut diadakan ialah sesi bersama Ketua Jabatan, Jabatan Sains Komputer dan Teknologi Digital (JKSTD) dan Dekan META, yang menjadi platform bagi memperkenalkan struktur pentadbiran fakulti kepada pelajar baharu.
Pada sesi petang, pelajar didedahkan dengan peranan serta fungsi unit Hal Ehwal Pelajar dan Alumni META, Majlis Perwakilan Pelajar serta persatuan pelajar di bawah META, sekali gus membina kesedaran awal terhadap kepimpinan, jaringan sosial dan penglibatan aktif dalam aktiviti pelajar.
Program ini bertujuan memupuk semangat cinta dan bangga terhadap fakulti dan universiti, serta membentuk identiti pelajar META yang ‘bitara’ – menonjol dalam aspek adab, akhlak dan akademik. Ia juga menjadi landasan awal untuk memperkenalkan budaya ilmu, amalan profesional serta kemahiran insaniah kepada pelajar.

Dibiayai sepenuhnya oleh JSKTD dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2,000.00 program ini berjaya dilaksanakan dengan kerjasama mantap semua pihak terlibat.
Slot Bersama Fakulti ini bukan sahaja membuka tirai perjalanan akademik pelajar META, malah turut menyemai rasa kekitaan dan kesediaan untuk mengharungi kehidupan kampus yang penuh cabaran dan peluang.
