UPSI, Tanjong Malim, 30 Julai 2025 – Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (META), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan dengan jayanya Kem Bina Insan Bitara (KEBINA) 2025 yang berlangsung dalam dua fasa pada 16 hingga 19 Jun (Fasa 1) dan 23 hingga 26 Jun 2025 (Fasa 2). Program berasaskan pembangunan sahsiah ini diadakan di UAP Campsite, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI. Kem ini disertai oleh lebih 300 mahasiswa semester 2, bersama 10 fasilitator serta 30 orang staf akademik dan pentadbiran.
KEBINA 2025 bertujuan untuk membentuk pelajar META yang bitara dari segi jati diri, semangat berpasukan, nilai empati dan kesukarelawanan melalui pelbagai aktiviti lasak dan reflektif. Aktiviti bermula seawal jam 6 pagi dengan kawad fajar murni diikuti sarapan dan tazkirah pagi, sebelum pelajar digerakkan untuk aktiviti fizikal seperti ‘jungle trekking’, halangan lasak, pembinaan pasukan dan permainan kumpulan.

Sesi petang pula diisi dengan aktiviti seperti ‘Dear Future Self’ dan ‘Know Yourself’ yang memberi ruang kepada peserta menilai potensi dan matlamat diri. Pada waktu malam, pengisian bertemakan motivasi dan identiti UPSI seperti slot ‘Bangga UPSI’, ‘Anak Kandung Suluh Budiman’, serta perkongsian bersama TDHEPA dan wakil Pusat Kaunseling memberikan sentuhan yang mendalam kepada peserta.
Menurut salah seorang peserta, Balqis Nurfasihah Binti Harun, mahasiswi Semester 2 ISM Kejuruteraan Perisian, beliau menyatakan bahawa: “Program ini sangat bermakna buat saya. Ia bukan sahaja menguji fizikal dan mental, tetapi juga membuatkan saya lebih mengenali potensi diri. Saya kini lebih yakin untuk berhadapan cabaran sebagai warga META dan UPSI.”

Manakala Mohamad Izzat Danial Bin Mohd Izani, pelajar Semester 2 ISMP Teknologi Maklumat pula menambah: “Saya rasa sangat terinspirasi dengan slot ‘Dear Future Self’. Ia membuka mata saya untuk lebih menghargai masa sekarang dan bersedia untuk masa depan.”
Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TDHEPA) META, YBrs. Ts. Dr. Nazre bin Abdul Rashid dalam ucapannya mengharapkan agar KEBINA menjadi titik tolak kepada pembentukan karakter mahasiswa META yang seimbang dari aspek rohani, fizikal dan intelektual. “Program seperti ini harus diteruskan dan ditambah baik. Ia selaras dengan aspirasi UPSI untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga berkepimpinan, beretika dan bersahsiah tinggi,” katanya.

Dengan pembiayaan sebanyak lebih kurang RM5,000.00 daripada Akaun Pembangunan Sahsiah META, KEBINA 2025 dilaksanakan dengan penuh teratur dan profesional. Dana digunakan bagi tujuan makan minum peserta, ubat-ubatan, bayaran fasilitator, bahan aktiviti serta hadiah dan cenderahati.
Program ini mencerminkan komitmen UPSI dan META untuk menyediakan platform pembangunan kendiri yang menyeluruh buat pelajarnya. Diharapkan semangat yang dibina dalam KEBINA ini akan terus mekar dalam diri peserta, menjadikan mereka warga UPSI yang beradab, berakhlak, holistik dan berkualiti.
