Oleh: Nurmirza Batrisyia Balqis Hassan dan Dr. Samsuddin Abd Hamid
Tanjong Malim, 18 Jun 2025 – Institut Pengajian Tahfiz dan Turath Islami (IPTTI) dengan kerjasama Persatuan Pendidikan Islam (PPI), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), telah berjaya menganjurkan Seminar Penyelidikan Prasiswazah i-Furqan 2.0 secara dalam talian melalui platform Google Meet.
Seminar ini melibatkan penyertaan aktif daripada para pelajar semester 7 ISMP Pendidikan Islam, yang membentangkan hasil kajian tahun akhir mereka kepada para penilai. Program ini turut dihadiri oleh para pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam serta para pensyarah dari fakulti Sains Kemanusiaan, Prof. Dr. Azmil Hashim, Pengarah i-Furqan yang merasmikan penutupan program.
Seminar ini menjadi satu wadah yang signifikan dalam memupuk budaya penyelidikan dalam kalangan mahasiswa Pendidikan Islam. Ia turut menyediakan ruang berharga kepada para pelajar untuk memperkukuh daya fikir kritis, mengasah kebolehan komunikasi, serta meningkatkan kemahiran penyampaian akademik secara profesional dan tersusun.


Sepanjang seminar ini berlangsung, para peserta telah menunjukkan prestasi yang membanggakan melalui pembentangan hasil kajian masing-masing yang menyentuh pelbagai isu semasa berkaitan Pendidikan Islam. Di samping itu, ucaptama bertajuk “Perkembangan Tahap Keagamaan Era AI dalam Perspektif Pendidikan” oleh Dr. Samsuddin Abd Hamid turut menambah nilai kepada seminar dengan memberikan suntikan inspirasi terhadap kepentingan integrasi ilmu dan akhlak dalam penyelidikan.
Dengan tema yang mengetengahkan aspek penyelidikan berkualiti, seminar ini bukan sahaja berjaya menonjolkan potensi mahasiswa sebagai pengkaji muda, malah memperkukuh jaringan kerjasama antara pensyarah dan pelajar melalui perbincangan akademik yang membina.
Program ini telah memberi impak positif dalam memperkasakan generasi pendidik Islam masa hadapan yang berintelektual, berketrampilan dan berakhlak tinggi. Semoga usaha ini berterusan dan menjadi medan penyubur kepada budaya penyelidikan serta kecemerlangan akademik di UPSI.
