Oleh: Nur Nisrina Mohd Yusri

Tanjong Malim, 25 Jun 2025– Program Pertandingan Sukan Rakyat anjuran Persatuan Pendidikan Islam (PPI) telah berjaya dilaksanakan dengan penuh semangat dan pengisian bermakna sebagai salah satu acara sampingan dalam Karnival Kesihatan Muallim 2025. Bertempat di Padang Utama Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, program ini menghimpunkan seramai 45 orang mahasiswa dari pelbagai jabatan di bawah Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), termasuk dari jabatan Sejarah, Geografi, Pengajian Malaysia, Pendidikan Islam dan Tahfiz Qiraat. Penganjuran program ini turut mendapat sokongan kukuh daripada 27 orang ahli jawatankuasa pelaksana.

Sebelum pertandingan dimulakan, semua peserta dan urus setia bersama-sama melaksanakan aktiviti senaman ringkas bagi memanaskan badan dan mewujudkan suasana ceria. Kemudian, majlis diteruskan dengan bacaan surah Al-Fatihah sebagai tanda penghormatan dan doa buat 15 orang pelajar UPSI yang terkorban dalam nahas bas baru-baru ini. Suasana hening seketika dalam rasa sebak dan insaf, mengingatkan semua peserta akan pentingnya menghargai kehidupan dan nilai persaudaraan.

Pertandingan sukan rakyat ini menampilkan pelbagai acara menarik berunsur tradisional seperti baling belon menggunakan kain batik, lari ikat kaki berpasangan dan baling selipar. Kesemua permainan ini dipilih bagi menggalakkan interaksi santai, kerjasama kumpulan serta memupuk semangat kesukanan dalam kalangan peserta. Sepanjang pertandingan berlangsung, para peserta memberi komitmen tinggi dan bermain dengan bersungguh-sungguh, mencerminkan semangat ukhuwah yang kukuh.

Sebagai penghargaan atas sokongan dan semangat yang ditunjukkan, hadiah telah disediakan kepada semua penyertaan. Anugerah yang diberikan meliputi saguhati, tempat ketiga, tempat kedua, dan tempat pertama, sekaligus menyemarakkan semangat persaingan sihat dalam kalangan mahasiswa.

Menurut pengarah program, aktiviti ini bukan sahaja berfungsi sebagai ruang rekreasi dan riadah, malah menjadi medium penyatuan dalam kalangan mahasiswa daripada latar pengajian yang berbeza. Tambah beliau, program ini turut memainkan peranan dalam memelihara nilai warisan budaya, di samping membantu pelajar melepaskan tekanan akademik dalam suasana harmoni.

Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada seluruh ahli jawatankuasa yang telah bertungkus-lumus menjayakan program ini. Komitmen, semangat kerja berpasukan dan keikhlasan yang ditunjukkan menjadi tunjang utama kepada kejayaan keseluruhan penganjuran. Semoga segala usaha yang dicurahkan diberikan ganjaran pahala oleh Allah SWT dan menjadi pengalaman berharga buat semua yang terlibat.

Semoga Pertandingan Sukan Rakyat ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penyertaan lebih meluas dan pengisian yang lebih menyeluruh, sekali gus menyumbang kepada pembentukan mahasiswa UPSI yang holistik dari sudut jasmani, emosi dan sosial.