Oleh: Muhammad Whafizuddin Majid
Tanjong, Malim, 19 Mac 2025 – Sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE) telah menganjurkan satu program ceramah bertajuk “Ceramah Lailatul Qadar”.
Program ini dianjurkan oleh Persatuan Pengurusan dan Ekonomi Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (PPEFPE). Ceramah ini bertujuan untuk memberikan pencerahan kepada mahasiswa/i mengenai keistimewaan malam Lailatul Qadar serta kepentingannya dalam kehidupan seorang Muslim.
Ceramah ini disampaikan oleh penceramah jemputan, Dr. Ahmad Zakirullah Mohamed Shaarani, seorang pensyarah dari Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE).



Dengan kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang agama serta pengurusan Islam, beliau telah berkongsi ilmu mengenai tanda-tanda malam Lailatul Qadar, kelebihan yang terdapat dalam malam tersebut serta amalan yang dianjurkan untuk meraih keberkatan daripada Allah SWT.
Objektif utama program ini adalah untuk menerapkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian mahasiswa/i agar mereka dapat menghayati dan mengamalkan ajaran Islam dengan lebih baik.
Selain itu, program ini juga bertujuan untuk meningkatkan pemahaman peserta mengenai malam Lailatul Qadar secara lebih mendalam serta mengembangkan akhlak mulia dalam kalangan mahasiswa/i yang terlibat.
Dengan adanya program sebegini, diharapkan para peserta dapat mengamalkan ilmu yang diperoleh serta menjadikan bulan Ramadan sebagai peluang untuk meningkatkan ibadah dan memperbaiki diri.
Program ini dijalankan secara dalam talian melalui platform Google Meet bagi membolehkan penyertaan yang lebih meluas.
Sambutan yang diterima sangat menggalakkan dengan seramai 200 lebih peserta telah berdaftar dan menyertai sepanjang sesi ceramah. Kehadiran yang mencapai sasaran membuktikan minat yang tinggi dalam kalangan mahasiswa/i terhadap program berbentuk keagamaan seperti ini.
Dengan kejayaan penganjuran ceramah ini, diharapkan program-program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi membentuk mahasiswa/i yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga memiliki sahsiah yang tinggi serta kefahaman agama yang mantap.
