Sesi bergambar peserta bersama penceramah

Oleh : Ummikalsum Mat Lazim & Balqis Khalisah Ahmad Fath

31 Julai 2025, Tanjong Malim – “Biar cuti, tapi hati terus terikat dengan al-Quran.” Itulah mesej utama yang dibawa dalam program Taujihat Istimewa Cuti Semester anjuran Jawatankuasa Guru Tahfiz, Institut Penyelidikan Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (iFurqan), Fakulti Sains Kemanusian, UPSI secara atas talian, bersama Pensyarah Kanan iFurqan Dr. Abdul Jalal Abdul Manaf.

Sesi yang berlangsung pada jam 2.00 petang ini berjaya menarik penyertaan lebih 70 orang pelajar, khususnya dalam kalangan mahasiswa program tahfiz. Walaupun dijalankan dalam suasana cuti semester, program ini mencetuskan impak luar biasa apabila pendekatan taujihat yang disampaikan benar-benar menyentuh hati para peserta.

Menurut Dr. Abdul Jalal, murajaah bukan sekadar memenuhi syarat akademik, tetapi merupakan amanah besar sebagai penjaga Kalamullah. “Kadang-kadang kita rasa murajaah itu beban, tapi hakikatnya, itu cara Allah ikat kita dengan-Nya. Jangan lepaskan peluang ini,” ujar beliau dengan nada penuh penghayatan.

Sesi perkongsian oleh Dr Abdul Jalal

Program ini bertujuan menyuntik semangat dan memperbaharui roh perjuangan huffaz ketika berada di luar kampus. Ia juga menjadi ruang muhasabah tentang niat hafazan, disiplin murajaah dan nilai istiqamah dalam menjaga hafazan ketika tiada pemantauan guru secara fizikal.

Penyampaian Dr. Abdul Jalal yang bersahaja tetapi sarat dengan hikmah telah membuka mata ramai peserta. Ramai yang mengakui bahawa sesi ini memberi nafas baharu dalam cara mereka melihat hafazan, bukan sekadar hafalan lisan tetapi satu bentuk pengabdian diri kepada Allah SWT.

Taujihat Istimewa Cuti Semester ini membuktikan bahawa walaupun jauh dari kampus, mahasiswa tahfiz UPSI tetap mampu mengikat hati mereka dengan al-Quran. Jiwa yang dekat dengan Kalamullah tidak pernah mengenal erti rehat. Sesungguhnya, ini bukan sekadar program tetapi seruan buat jiwa-jiwa Qurani.