Oleh: Nurin Rozaini Azreen Mohd Rozelam dan Arissa Syaralia Ariff Murzali
Da Lat, Vietnam, 1 Ogos 2025 – Dalam usaha memperkukuh kerjasama pendidikan serantau, delegasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah disambut baik oleh pihak pengurusan Universiti Da Lat dalam satu sesi akademik bersejarah yang menjadi platform kepada pertukaran ilmu, wacana rentas budaya dan pengembangan jaringan global.
Pertemuan ini berlangsung dalam suasana mesra dan intelektual, mencerminkan komitmen bersama terhadap kecemerlangan pendidikan dan hubungan dua hala yang erat.
Program dimulakan dengan sesi kuiz ringkas daripada pensyarah Universiti Da Lat, iaitu Cik Mai Phuong kepada mahasiswa UPSI dan Universiti Da Lat sendiri.
Kemudian diikuti dengan pengenalan institusi Da Lat oleh Encik Duong Huy yang memperkenalkan fakulti-fakulti yang ditawarkan oleh Universiti Da Lat.



Seterusnya, graduan Universiti Da Lat, saudari Minh Thu pula menerangkan mengenai Fakulti Bahasa Asing yang terdapat di Universiti Da Lat khususnya dalam bidang Bahasa Inggeris.
Beliau juga menyuarakan harapan agar hubungan ini diteruskan dalam bentuk pertukaran pelajar, penyelidikan bersama, serta penganjuran aktiviti akademik rentas negara.
Mereka menekankan pentingnya keterbukaan dan kerjasama dalam menyemai pemahaman budaya yang mendalam, terutamanya dalam kalangan generasi muda yang semakin terdedah kepada konteks global.
UPSI memperkenalkan sejarah penubuhan universiti, kekuatan fakulti dan pencapaian dalam bidang pendidikan, manakala Universiti Da Lat berkongsi peranan mereka sebagai pusat pengajian tinggi terkemuka di kawasan tanah tinggi Vietnam.
Sesi ini membuka ruang kefahaman yang lebih mendalam tentang landskap pendidikan masing-masing, sekali gus membina asas kepercayaan dan persefahaman bersama.


Seterusnya, forum pendidikan yang dianjurkan menampilkan pembentangan dan diskusi dua hala mengenai sistem pengajian tinggi Malaysia dan Vietnam, termasuk struktur kurikulum, cabaran kebolehpasaran graduan dan peranan universiti dalam pembangunan masyarakat.
Turut disentuh ialah kepentingan pendekatan pedagogi berinovasi, pembelajaran berasaskan pengalaman serta peranan teknologi dalam memperkasakan pendidikan pasca-pandemik.
Dalam ucapannya, Yang Dipertua Kolej Harun Aminurrashid, saudara Iqqwan Jasman Su Azlan Su menerangkan mengenai sejarah penubuhan UPSI sepanjang satu dekat yang mempunyai empat era, dimulai dengan SITC, MPSI, IPSI dan terkini iaitu UPSI.
Beliau juga berjaya membuat mahasiswa dan para pensyarah berasa kagum dengan fasiliti dan fakulti yang dimiliki oleh UPSI.
Sesi turut disusuli dengan lawatan sekitar kampus Universiti Da Lat, termasuk perpustakaan, makmal penyelidikan dan ruang pembelajaran pelajar.
Mahasiswa UPSI diberi penerangan tentang sejarah akademik universiti tersebut serta peluang kerjasama masa depan yang boleh diteroka, khususnya dalam bidang sains sosial, pendidikan dan kebudayaan.
Lawatan ini membuka mata peserta tentang perbezaan dan persamaan yang wujud dalam sistem pendidikan antara dua negara, sekaligus memupuk rasa hormat dan keterbukaan terhadap pendekatan pembelajaran yang berbeza.
Melalui interaksi akademik ini, satu pemahaman baharu telah terbina bahawa pendidikan bukan sekadar pemindahan ilmu, tetapi satu bentuk diplomasi intelektual yang dapat menyatukan aspirasi pelbagai bangsa.


Ia juga membuktikan bahawa universiti mampu memainkan peranan sebagai penggerak utama dalam membina masa depan yang lebih inklusif, kolaboratif dan berteraskan nilai sejagat.
Sesi ini bukan sahaja menandakan titik temu antara UPSI dan Universiti Da Lat, tetapi juga titik tolak kepada potensi jaringan akademik yang lebih kukuh, merentas sempadan geografi dan linguistik.
Diharapkan jalinan ini akan berkembang menjadi kerjasama strategik yang berterusan demi manfaat bersama dalam usaha melahirkan graduan global yang berdaya saing, berbudaya dan berpandangan jauh.
UPSI turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Universiti Da Lat atas kesudian menerima kunjungan akademik ini serta sambutan mesra yang diberikan sepanjang sesi berlangsung.
Sebagai tanda penghargaan rasmi, pihak UPSI telah menyampaikan cenderamata dan ucapan penghargaan kepada Universiti Da Lat yang diserahkan oleh wakil Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU), iaitu Ts. Dr. Megat Azrin bin Ahmad dan diringi oleh Dr. Haji Che Anuar bin Che Abdullah, Pengetua Kolej Harun Aminurrashid.
Simbolik ini melambangkan komitmen UPSI dalam memperkukuh jalinan hubungan dua hala yang saling menghormati dan bermanfaat dalam pembangunan akademik serantau.
