Oleh: Nurin Rozaini Azreen Mohd Rozelam & Arissa Syaralia Ariff Murzali

Kuala Lumpur, 1 Ogos 2025 – Membawa semangat siswa MADANI, seramai 32 orang mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersama beberapa pengiring telah memulakan langkah pertama dalam program mobiliti antarabangsa ke Da Lat, Vietnam.

Sebelum berlepas, satu sesi taklimat keberangkatan telah diadakan berhampiran balai pelepasan antarabangsa. Pengarah program, Saudari Nurshafiqa Shahrun Nizam, menyampaikan amanat ringkas namun padat yang menyentuh beberapa aspek utama seperti etika antarabangsa, garis panduan keselamatan serta objektif keseluruhan program mobiliti ini. Menurut beliau, misi ini bukan sekadar lawatan akademik semata-mata, tetapi juga peluang memperkenalkan budaya Malaysia kepada komuniti antarabangsa serta memperkukuh identiti mahasiswa sebagai duta kecil negara.

Slot taklimat ini bukan sahaja memberi panduan teknikal dan logistik, malah berfungsi sebagai medan awal pembentukan semangat pasukan. Peserta digalakkan untuk saling mengenali, menanam nilai disiplin diri dan membina daya tahan mental serta emosi. Semua ini amat penting bagi memastikan kelancaran program sepanjang berada di bumi Vietnam kelak.

Program mobiliti ke Da Lat ini merupakan salah satu inisiatif UPSI dalam memperluaskan jaringan antarabangsa melalui pendidikan rentas budaya, sekaligus menyokong aspirasi Malaysia sebagai hab pendidikan global. Misi ini dijangka membuka ruang pengalaman baharu kepada mahasiswa, khususnya dalam memahami realiti pendidikan, sosial dan budaya negara serantau.

Setelah menempuh perjalanan selama lebih kurang dua jam, semua peserta selamat mendarat di Lapangan Terbang Da Lat lebih awal daripada jangkaan asal yang tercatat dalam jadual. Ketibaan awal ini membolehkan para peserta mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu sambil menikmati udara segar kawasan tanah tinggi yang cukup mendamaikan.

Suasana ceria dan semangat kekitaan jelas terpancar daripada raut wajah para peserta, yang kini semakin bersedia untuk menjalani pengalaman pembelajaran merentas budaya dan sistem pendidikan yang berbeza. Kejayaan fasa pertama perjalanan ini menjadi indikator positif terhadap keseluruhan kelancaran program mobiliti yang bakal berlangsung selama beberapa hari mendatang.

Hari Pertama: Jalinan Akademik di Universiti Da Lat (Trường Đại học Đà Lạt)

Hari pertama dimulakan dengan semangat baru apabila delegasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) disambut mesra oleh pihak Trường Đại học Đà Lạt, sebuah universiti ternama yang terletak di kawasan tanah tinggi Vietnam. Universiti ini terkenal dengan pengkhususan dalam bidang pertanian, pendidikan dan pelancongan, menjadikannya destinasi yang sesuai untuk pertukaran ilmu.

Sesi dialog diadakan antara kedua-dua buah universiti di mana wakil mahasiswa dan pensyarah kedua-dua universiti saling bertukar-tukar informasi budaya antara kedua-dua negara. Kedua-dua buah universiti juga telah menyampaikan pengenalan universiti masing-masing secara ringkas dan padat. Forum ini juga membuka ruang kerjasama akademik jangka panjang antara UPSI dan Universiti Da Lat.

Selepas forum, delegasi dibawa melawat kampus universiti yang dikelilingi oleh ladang sayuran, makmal penyelidikan dan kawasan eksperimen tanaman hortikultur. Pihak delegasi juga dibawa melawat perpustakaan mereka. Di sini, pihak delegasi dapat melihat suasana perpustakaan mereka yang indah dan sungguh nyaman menyebabkan ramai pelajar-pelajar datang untuk membuat perbincangan berkumpulan di sana. Keterbukaan universiti terhadap pelawat asing turut mencerminkan dasar keterangkuman dan kebersamaan yang diamalkan dalam budaya akademik mereka.

Acara disusuli dengan aktiviti permainan tradisional Vietnam, seperti Tro Rong Ran Len May. Permainan ini sama seperti Musang dan Ayam di Malaysia. Perbezaannya ialah mereka akan main dalam bentuk bulatan dan peserta yang berjaya masuk dalam bulatan sebelum ditangkap akan dikira sebagai pemenang. Aktiviti ini berjaya membina jalinan emosi dan kekitaan antara pelajar UPSI dan pelajar Vietnam, sekaligus menghapuskan jurang budaya melalui interaksi santai dan penuh gelak tawa.

Hari Kedua: Ekopelancongan dan Warisan Budaya Da Lat

Hari kedua dipenuhi dengan pengembaraan di sekitar Da Lat yang terkenal sebagai “Bandar Musim Bunga” kerana iklim sejuk dan landskap semula jadi yang memukau. Aktiviti pertama dimulakan di Thác Datanla, sebuah kawasan air terjun yang terletak di dalam kawasan hutan semula jadi. Di sini, peserta berpeluang menaiki roller coaster kayu menuruni cerun bukit menuju ke kawasan air terjun, memberi pengalaman unik yang menggabungkan elemen ekopelancongan dan adrenalin.

Selain menjadi kawasan tarikan pelancongan, Datanla juga berfungsi sebagai pusat pendidikan ekosistem. Peserta dapat memerhati lapisan hutan dan kepelbagaian biodiversiti yang tumbuh di sekitarnya, serta mempelajari tentang kepentingan kawasan tadahan air dan pengurusan ekopelancongan mampan.

Perjalanan diteruskan ke Đường hầm điêu khắc (Clay Tunnel), di mana sejarah Da Lat diukir dengan teliti menggunakan tanah liat semula jadi. Dalam lawatan ini, peserta bukan sahaja mengagumi keunikan arca dan hasil seni, malah mengenakan pakaian tradisional Vietnam – Áo Dài, menambahkan lagi suasana meriah dan penuh nostalgia.

Lawatan hari itu ditutup dengan aktiviti santai di Vườn hoa thành phố Đà Lạt (Taman Bunga Bandar Da Lat), sebuah lokasi wajib bagi pencinta flora. Di sinilah peserta mengenal lebih dekat industri hortikultur Vietnam, termasuk teknik pembiakan bunga ros, orkid dan lavender yang ditanam secara berskala komersial untuk pasaran eksport.

Hari Ketiga: Meneroka Geografi Mũi Né dan Misi Kemanusiaan di Ho Chi Minh

Hari ketiga menyaksikan perubahan landskap apabila peserta dibawa ke Bàu Trắng (White Sand Dunes) di Mũi Né, sebuah kawasan padang pasir putih yang menakjubkan terletak bersebelahan laut. Di sini, para pelajar berpeluang memahami fenomena proses geomorfologi, seperti pengangkutan dan pemendapan pasir akibat tiupan angin monsun, yang membentuk landskap luar biasa ini. Ia menjadi kelas geografi lapangan yang amat bermanfaat.

Panorama padang pasir putih Bàu Trắng yang memukau ini merupakan contoh kawasan padang pasir semula jadi yang dimajukan sebagai destinasi pelancongan strategikdi Vietnam. Melalui pembangunan infrastruktur seperti laluan ATV, kawasan bergambar, dan pusat rehat pelancong, Vietnam berjaya mewujudkan sumber ekonomi baharu dalam sektor pelancongan berasaskan geografi unik. Tarikan seperti ini menjadi punca rezeki penduduk setempat dan meningkatkan kesedaran pelawat antarabangsa terhadap kepentingan pemeliharaan kawasan alam sekitar yang istimewa.

Selesai aktiviti santai dan fotografi, rombongan meneruskan perjalanan ke Thành phố Hồ Chí Minh, salah satu bandar utama di Vietnam yang terkenal dengan kepelbagaian etnik dan sejarahnya yang kaya. Di sini, mahasiswa menjalankan aktiviti khidmat masyarakat (CSR) di Masjid Noorul Ehsaan, sebuah masjid berperanan sebagai pusat komuniti Muslim minoriti yang aktif di kawasan itu.

Setibanya di perkarangan masjid, para peserta disambut mesra oleh wakil pengurusan masjid dan beberapa ahli jemaah tempatan. Sesi dimulakan dengan taklimat ringkas tentang sejarah penubuhan masjid serta cabaran yang dihadapi masyarakat Muslim di bandar besar yang majoritinya bukan Islam. Mahasiswa UPSI kemudian bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar masjid, termasuk mencuci ruang solat, membersihkan halaman, serta menyusun semula rak kitab Al-Quran dan bahan bacaan agama.

Selain kerja pembersihan, delegasi turut mengambil inisiatif menyerahkan sumbangan kepada pihak masjid. Penyerahan simbolik sumbangan ini dilakukan oleh wakil Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU), iaitu Ts. Dr. Megat Azrin bin Ahmad dan diringi oleh Dr. Haji Che Anuar bin Che Abdullah, Pengetua Kolej Harun Aminurrashid kepada imam masjid, sebagai tanda persahabatan dan solidariti rakyat Malaysia kepada komuniti Muslim di Vietnam.

Aktiviti ini bukan sahaja memberi pengalaman berharga dalam menyantuni masyarakat minoriti, tetapi juga membuktikan nilai kepedulian sosial, toleransi agama, dan semangat sukarelawan yang sentiasa dipegang oleh mahasiswa UPSI. Raut wajah gembira dan penuh terharu komuniti tempatan jelas menjadi bukti bahawa setiap usaha kecil boleh memberi makna yang besar kepada orang lain.

Hari Keempat: Meneroka Kehidupan Delta di Sungai Mekong (Sông Mê Kông)

Hari keempat memperlihatkan keunikan Sungai Mekong sebagai sumber kehidupan dan ekonomi utama di wilayah selatan Vietnam. Dengan menaiki bot kecil, peserta menyusuri sungai yang luas dan melalui perkampungan terapung. Di sepanjang laluan, peserta menyaksikan aktiviti harian seperti memancing, pengangkutan air, dan penjualan hasil tani dan gambaran jelas tentang ekonomi berasaskan sungai.

Lawatan turut meliputi kunjungan ke kilang kẹo dừa (gula-gula kelapa), di mana peserta melihat proses penghasilan dari kelapa segar hingga menjadi produk siap. Proses ini menonjolkan nilai industri kecil dan sederhana (IKS) dan kecekapan penggunaan sumber semula jadi.

Akhir sekali, peserta dibawa ke ladang lebah kelulut (mật ong hoa nhãn) dan merasai madu asli yang dihasilkan tanpa bahan kimia. Lawatan ini menambah kefahaman terhadap penternakan lebah secara organik, dan membuka potensi untuk diterapkan di Malaysia sebagai sumber ekonomi tambahan.

Hari Kelima: Mengukir Kenangan, Menyemai Impian

Tibalah hari terakhir, dan peserta bersiap pulang ke Malaysia dengan jiwa yang lebih terbuka dan perspektif global yang lebih luas. Sepanjang lima hari, pelbagai pelajaran telah diperoleh – daripada kerjasama antarabangsa, pemeliharaan alam, penghargaan budaya, hingga nilai keprihatinan sosial. Program ini bukan sekadar lawatan luar negara. Ia adalah platform transformasi diri yang sejajar dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2025 dan matlamat UPSI untuk melahirkan mahasiswa berjiwa global yang tinggi nilai kemanusiaannya.

Pengetua Kolej Harun Aminurrashid, Dr. Haji Che Anuar bin Che Abdullah yang mengetuai delegasi turut menyampaikan kata-kata penghargaan dan refleksi akhir program:

“Perancangan selama lima hari ini berjaya dilaksanakan dengan pendedahan kepada pelbagai perkara yang merangkumi elemen pendidikan, pertanian, budaya dan pelancongan. Program ini mendedahkan mahasiswa untuk bersikap lebih positif, terbuka, dan bersemangat untuk meneroka ilmu yang diperoleh, di samping memupuk rasa hormat dan kerjasama rentas budaya. Saya berharap pengalaman ini menjadi pemangkin kepada pembentukan sahsiah global yang progresif dalam kalangan pelajar kita.”