Oleh: Dr. Vestly Kong Liang Soon dan Chong Ai Peng
Kuching, 27 Julai 2025 – Dunia pendidikan inklusif terus melangkah ke era digital melalui penganjuran The 6th International Conference on Special Education (ICSE 2025) dan 2nd Innovation for Disability-Inclusive Education Competition (iDIEC) yang berlangsung di Hotel UCSI Kuching, Sarawak. Acara dua hari ini menjadi titik penting dalam landskap pendidikan khas serantau, menghimpunkan lebih 300 peserta dari 20 negara merangkumi ahli akademik, guru pendidikan khas, pelajar pascasiswazah, pembuat dasar dan aktivis komuniti OKU.

Sebagai institusi pendidikan guru terkemuka, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berperanan penting sebagai rakan strategik SEAMEO SEN dalam menjayakan ICSE 2025. Kolaborasi ini diperkukuh melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dan Surat Hasrat (LoI) melibatkan SEAMEO SEN dengan Canva, ICEVI, UPSI, serta UPSI dengan Oxford Education (OxEd), University of Oxford. Kerjasama ini membuka laluan kepada pembangunan latihan guru, penyelidikan, teknologi mesra OKU dan pengukuhan kapasiti pendidikan khas di peringkat ASEAN dan global.
Hari pertama dimulakan dengan syarahan utama oleh Emeritus Professor Charles Hulme (University of Oxford) mengenai literasi dan neurodiversiti, diikuti Dr. Mohd Anuar Abdullah (Bahagian Pendidikan Khas KPM) yang membincangkan dasar pendidikan khas selaras transformasi digital. Sebanyak 68 pembentangan kertas selari memperkayakan wacana melalui dapatan penyelidikan, pengalaman praktikal dan cadangan inovatif.

Hari kedua dibuka dengan syarahan utama oleh Dr. Eddy Fazlin Haji Amdan (Kementerian Pendidikan Brunei) yang menggariskan visi teknologi inklusif negara itu. Sesi panel pelbagai pihak dikendalikan oleh Ms. Izza Ismail (British High Commission Kuala Lumpur) menampilkan wakil UNESCO, ICEVI, Universiti Utara Malaysia dan Cikgu Muhammad Nazmi Rosli (Finalis Global Teacher Prize) yang menekankan keperluan pendekatan berpusatkan manusia dalam teknologi pendidikan.
Serentak dengan ICSE, pertandingan iDIEC 2025 mempamerkan 43 inovasi dari Malaysia, Brunei, Indonesia dan Filipina. Tiga inovasi terbaik setiap kategori menerima geran pembangunan RM10,000 daripada UPSI. Anugerah Best Paper, Best Exhibition dan iDIEC Awards turut disampaikan. Pameran yang diadakan dengan penglibatan 25 organisasi dari Malaysia, Singapura dan Hong Kong memberikan peluang kepada peserta untuk meneroka teknologi bantuan dan platform pendidikan inklusif terkini.
Menurut Dr. Vestly Kong Liang Soon juga merupakan pensyarah kanan Jabatan Pendidikan Khas, kejayaan pelajar pascasiswazah UPSI, Puan Chong Ai Peng turut mencuri perhatian apabila memenangi Platinum Award SEAMEO 2025 Category B: School and Teacher Education Professionals melalui inovasi “Geometria: Revolutionizing Geometry Learning for Deaf Students Through The Metaverse” yang turut menerima geran penyelidikan.

Persidangan ini turut mengiktiraf amalan tempatan seperti model SeDidik dan OSEIC Sarawak yang memanfaatkan teknologi saringan awal dan intervensi pintar. Kerjasama dengan syarikat Jepun TOY8 membuktikan keberkesanan inovasi rentas budaya dalam pendidikan awal kanak-kanak OKU.
Majlis penutup disempurnakan oleh YB Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, diiringi persembahan kebudayaan oleh pelajar SMK Muara Tuang dan SK Pendidikan Khas Kuching. Dalam ucapannya, YBrs. Dr. Zulhazmi bin Ismail (Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia) menegaskan perlunya kesinambungan pasca-persidangan melalui dasar, amalan dan jaringan profesional.
ICSE 2025 membuktikan bahawa pendidikan inklusif bukan sekadar wacana, tetapi realiti yang sedang dibentuk di sini dan kini. UPSI kekal komited untuk menerajui perubahan melalui penyelidikan, latihan dan inovasi pendidikan inklusif yang lestari.
