Oleh: Nik Nureen Aeisya dan Nabila Farahana
Tanjong Malim, 11 Ogos 2025 — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi membuktikan keunggulannya sebagai tuan rumah apabila berjaya menganjurkan Pertandingan Debat Piala Rakan Muda 2025 dengan penuh meriah dan berimpak tinggi.
Bertemakan “Pemacu Generasi Belia Madani”, acara berprestij ini dianjurkan melalui kerjasama erat antara Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar (MMKUO) dan Sekretariat Rakan Muda UPSI, dengan sokongan padu daripada Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara, Kementerian Belia dan Sukan serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Sebanyak 14 kumpulan dari 9 institusi pengajian tinggi seluruh negara telah menyertai pertandingan yang berlangsung dari 9 hingga 11 Ogos 2025.



Pusingan awal diadakan di Kompleks Akademik UPSI, manakala pusingan akhir dan majlis penutupan rasmi berlangsung di Panggung Percubaan UPSI, menyaksikan kehadiran ramai penyokong dan peminat debat daripada pelbagai IPT.
Pertandingan kali ini menyaksikan pasukan Universiti Malaysia Kelantan (A) muncul sebagai juara keseluruhan dengan margin 1.0 serta nisbah juri 5-0 selepas menewaskan pasukan Universiti Malaya (B) di pentas akhir dengan usul yang mencabar dan relevan iaitu “ledakan teknologi meneguhkan semangat kemerdekaan generasi muda”.
Kemenangan tersebut melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM2,500, trofi kemenangan, serta piala pusingan sebagai simbol kejuaraan.
Universiti Malaya (B) muncul sebagai naib johan dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2,000 serta trofi kemenangan.



Tempat ketiga dirangkul Universiti Putra Malaysia, yang turut menerima hadiah wang tunai sebanyak RM1,000 dan trofi. Sementara itu, Universiti Malaysia Kelantan (B) menduduki tempat keempat, dengan ganjaran berupa wang tunai RM1,000 dan trofi kemenangan.
Nurshadina Natasha Sabarudin UMK (A) dinobat pendebat terbaik akhir yang membawa pulang trofi dan wang tunai sebanyak RM300.
Manakala Muhammad Adam Fanshuri dari Universiti Malaya (B) merangkul gelaran Pendebat Terbaik Keseluruhan, menerima trofi dan wang tunai sebanyak RM300 sebagai tanda penghargaan atas prestasi konsisten sepanjang pertandingan.
Prof. Dr. Norkhalid Salimin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) dalam ucapan perasmiannya menyatakan bahawa pertandingan debat bukan sekadar medan untuk menguji kecekapan berbahas atau kemahiran berhujah, tetapi ia juga menjadi platform melatih pemikiran kritis, keyakinan diri, kepimpinan, dan kemahiran komunikasi yang sangat diperlukan dalam dunia hari ini.
Beliau juga turut berpuas hati dan menantikan kelangsungan pertandingan ini pada tahun hadapan.


ChM. Dr. Mohamad Saufi Rosmi yang mewakili Pengerusi Majlis Pengetua melahirkan rasa bangga dan teruja dengan penganjuran edisi kedua ini, tambahan pula ianya dilaksanakan sepenuhnya oleh pelajarnya Muhammad Ali Azizi Abdul Aziz selaku Pengarah Program dengan bimbingan felo penasihat, Encik Muhamad Safwan bin Sarifbudin.
Penganjuran kali kedua ini disambut meriah dengan penyertaan yang diterima daripada institusi luar serta gerak kerja yang dijalankan oleh setiap ahli jawatankuasa.
Hadir sama pada majlis penutupan pertandingan adalah Puan Azlina Adnan, Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Kementerian Belia dan Sukan Negeri Perak, serta Encik Muzamil Mahil, Penasihat Sekretariat Rakan Muda UPSI.

