oleh: Arissa Hasya Auni
Tanjong Malim, 20 Ogos 2025 – Pejabat Karang Mengarang (PKM) hari ini menerima kunjungan rasmi daripada Kolej Komuniti Sungai Siput (KKSS) yang dihadiri oleh Pegawai Perhubungan Industri dan Alumni, Ts Anuar Shaari.
Tujuan utama lawatan ini adalah untuk mendapatkan pencerahan serta berkongsi amalan terbaik yang dilaksanakan oleh PKM bagi membantu KKSS dalam permohonan penilaian Jurnal Ilmiah Malaysia melibatkan jurnal terbitan mereka.
Menurut Wakil Pengarah PKM yang juga Ketua Seksyen Penerbitan Jurnal, Ahmad Janatul Firdaus Dzulkarnain, PKM sentiasa komited membantu mana-mana pihak yang ingin mendapatkan panduan dalam pengurusan jurnal.
“PKM kini mempunyai dua jurnal berindeks Scopus dan berpengalaman luas menguruskan lebih 30 jurnal UPSI,” katanya.
Sesi perbincangan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat PKM itu turut dihadiri oleh Pengurus Editor PKM merangkap Penolong Pegawai Tadbir, Mohd Shahrizal Mohamad Ridzuan.
Perbincangan menjurus kepada pengalaman UPSI dalam pengurusan jurnal, tips permohonan pengindeksan MyCite serta Scopus, selain potensi kerjasama penulisan makalah antara kedua-dua institusi khususnya melibatkan Journal of Technology and Humanities (J Technol Hum) terbitan KKSS.
Menurut Ts Anuar Shaari, KKSS merupakan pelopor dalam mewujudkan jurnal yang melibatkan keseluruhan kolej komuniti sebelum diperluaskan ke kolej komuniti lain di seluruh negara.
“Hasil daripada perbincangan ini diharap dapat membantu KKSS untuk memberi nilai tambah kepada pengurusan jurnal kami,” katanya.


Selain itu, turut dibincangkan peluang kerjasama lain termasuk latihan industri serta jaringan strategik bersama fakulti-fakulti di UPSI.
“Kami akan mengadakan lawatan sekali lagi ke UPSI dengan membawa delegasi KKSS untuk menjalinkan kerjasama dengan skop yang lebih luas meliputi aspek akademik, penerbitan dan pembangunan pelajar,” jelas Ts Anuar.
Lawatan berkenaan diakhiri dengan sesi pertukaran cenderahati sebagai simbolik kepada permuafakatan antara PKM dan KKSS.

