Oleh: Muhammad Airul Idham Baharin

Tanjong Malim, 5 Ogos – “Makanan sihat, hidup lebih bertenaga!” – itulah semangat yang dibawa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) apabila menganjurkan Bengkel Latihan Katering Sihat secara dalam talian dengan kerjasama Unit Pemakanan, Pejabat Kesihatan Daerah Muallim.

Bengkel ini menghimpunkan pengendali kafeteria kampus, pengusaha kedai makan, restoran serta kantin sekolah dan tempat kerja untuk bersama-sama mempelajari cara menyediakan hidangan yang lebih seimbang, bersih dan berkualiti.

Pegawai Pemakanan Pejabat Kesihatan Daerah Muallim, Puan Ili Dalila Tajudin, turut berkongsi tip praktikal tentang pemakanan sihat selain menekankan betapa pentingnya aspek kebersihan dalam penyediaan makanan harian.

Menurut pihak penganjur, bengkel ini bukan sahaja membuka laluan ke arah pengiktirafan Kafeteria Sihat, malah memastikan warga UPSI dapat menikmati juadah yang lebih berkhasiat dan menyihatkan setiap hari.

Langkah ini juga seiring dengan usaha UPSI dan Kementerian Kesihatan dalam memupuk budaya pemakanan sihat di kampus, sekali gus menyokong gaya hidup lebih aktif, cergas dan ceria dalam kalangan mahasiswa serta staf universiti.