Oleh: Bazli Razak
Tanjong Malim, 9 September 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Ningxia New Vision Education Management Co. Ltd dari China, dengan Ningxia Business Vocational School (NBVS) sebagai rakan pelaksana di Yinchuan.
MoA tersebut memberi tumpuan kepada pelaksanaan English Preparatory Course (EPC) yang dijajarkan dengan penilaian APTIS sebagai laluan berkualiti ke program prasiswazah UPSI.
Kursus berkenaan bertujuan menyediakan pelajar untuk pengajian dalam bahasa Inggeris sebaik sahaja menjejak kaki ke kampus UPSI.
Menjalankan fungsi sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Prof. Madya Dr. Ridzwan Che Rus berkata kerjasama itu penting kerana ia memberi manfaat besar kepada hasil pembelajaran pelajar.
“EPC memberi fokus kepada peningkatan tahap kemahiran bahasa Inggeris dengan ukuran jelas berdasarkan penilaian luaran APTIS, sekali gus membolehkan pelajar dan ibu bapa melihat kemajuan sebenar, bukan sekadar janji,” katanya dalam majlis menandatangani MoA yang diadakan di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI, hari ini.
“New Vision akan mengurus aspek pengambilan pelajar dan logistik di Ningxia, NBVS pula menyediakan kemudahan pelaksanaan, manakala UPSI membekalkan tenaga pengajar pakar, bahan pengajaran, jaminan kualiti dan penyelarasan APTIS.
Menurut beliau, UPSI berkomitmen menyediakan persekitaran pembelajaran lengkap menerusi dua kampus moden di Tanjong Malim, iaitu Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS) dan Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), yang dilengkapi infrastruktur akademik, kediaman, kokurikulum, sukan serta kesejahteraan pelajar.
“Dengan standard kurikulum yang ketat, penilaian jelas dan sokongan pelajar yang rapi, laluan ini akan benar-benar melaksanakan apa yang dijanjikan,” Ujar beliau.


Sementara itu, Pengurus Besar Ningxia New Vision Education, Yu Zhiming berkata UPSI merupakan universiti pendidikan yang terkenal dengan sejarah panjang dan budaya yang kaya, serta sentiasa berusaha ke arah pengantarabangsaan pendidikan.
“Sejak ditubuhkan, UPSI telah melatih ramai bakat cemerlang, manakala New Vision Education pula sentiasa menekankan inovasi dan perkhidmatan serta komited menyediakan pendidikan yang kukuh dan boleh dipercayai,” katanya.
Beliau berkata, sejak beberapa tahun lalu syarikat itu telah membantu lebih ribuan pelajar melanjutkan pengajian ke luar negara, sekali gus meraih kepercayaan berterusan daripada ibu bapa dan pelajar.
“Malah, kerjasama kami dengan UPSI bermula seawal tahun 2019 melalui penubuhan Off-shore ELPC Training Center di Ningxia International Language College.
Menurutnya, MoA yang ditandatangani hari ini bukan sahaja kesinambungan usaha terdahulu, malah satu penambahbaikan dengan penubuhan Language Centre di China bagi menggabungkan sumber berkualiti kedua-dua pihak.
“Pusat bahasa ini akan membuka laluan lebih mudah dan berkesan kepada pelajar China untuk menyambung pengajian di sebuah universiti terkemuka dunia seperti UPSI.
“Saya percaya dengan usaha bersama, kerjasama antara universiti dan industri ini akan melahirkan bakat menyeluruh yang menguasai bahasa dan kemahiran untuk keperluan masyarakat,” katanya.
Hadir sama Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman; Penolong Pengetua Sekolah Vokasional Perniagaan NingXia, Prof. Zhang Jing; Dekan, Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Prof. Madya Dr. Mazura @ Mastura Muhammad.

